nicol

Oleh Muhammad Aiman

Musim yang mengecewakan belum ada noktahnya buat ratu skuash negara, Dato’ Nicol David apabila sekali lagi gagal melepasi halangan separuh akhir, kali ini di Kejohanan Skuash Dunia Wadi Degla 2016.  

Nicol yang tergelincir ke tangga kelima dunia bagi ranking bulan November, tewas kepada pemain Mesir, Raneem El Welily 3-2 (11-9, 11-13, 7-11, 11-8, 7-11) sekaligus menyaksikannya bukan sahaja terus kempunan gelaran pertama, tetapi juga aksi final pertama untuk tahun ini.

Kekalahan dalam perlawanan berlangsung selama 70 minit itu adalah keempat berturut-turut Nicol kepada pemain nombor empat dunia itu dan yang ketujuh sepanjang 25 pertemuan antara kedua-duanya.

Pada perlawanan itu, Nicol memanfaatkan sepenuhnya tujuh kesilapan El Welily di set pertama untuk mendahului 1-0, tetapi membenarkan pemain tuan rumah itu bangkit tiga kali di mata akhir set kedua untuk mengikat kedudukan 1-1.

Kemenangan itu menyuntik keyakinan buat El Welily yang tampil lebih yakin diiringi sorakan penonton tempatan dan dia mengungguli set ketiga untuk mendahului 2-1 sebelum Nicol memastikan perlawanan berlanjutan ke set penentuan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mendahului 7-3 di set penentuan, namun melakukan kesilapan demi kesilapan yang membolehkan El Welily mengutip lapan mata berturut-turut dan mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir.

“Nicol begitu mahu menang perlawanan ini dan memberikan segalanya. Ini menyebabkan tiada ruang untuk saya terus melakukan kesilapan. Saya hanya katakan kepada diri terus buat yang terbaik dan berikan tekanan. Malah ketika di set terakhir saya sudah tidak lagi fikirkan tentang final, tetapi dia melakukan kesilapan dan saya manfaatkannya,” kata El Welily. 

Lawan El Welily di final adalah rakan senegara yang juga pemain nombor tiga dunia, Nouran Gohar – Nouran melangkah ke final setelah menewaskan pemain dari pusingan kelayakan, Tesni Evans dari Wales 3-1 (11-5, 11-2, 9-11, 11-4) dalam masa 51 minit. 

- Advertisement -