nicol.david

Oleh Muhammad Aiman

Tamparan buat kem negara, apabila ratu skuash yang juga pemain nombor enam dunia, Dato’ Nicol David terpaksa menarik diri pada saat akhir dari beraksi di edisi sulung Kejohanan Skuash Terbuka Beregu Malaysia yang bermula esok. 

Nicol dinasihatkan supaya berehat selama seminggu oleh pakar dari Institut Sukan Negara (ISN) berikutan kesan daripada kecederaan harmstring yang dialaminya ketika beraksi di Kejohanan Skuash Berpasukan Wanita Dunia di Paris dua minggu lalu masih lagi dirasainya. 

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuash Malaysia (SRAM), S. Maniam mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan media, lewat petang tadi. 
“Nicol telah berjumpa dengan pakar dari ISN pagi tadi. Dia perlu berehat antara lima ke tujuh hari. Kami turut bersimpati dengan situasi yang dialaminya kerana dia betul-betul bersemangat mahu menyertai kejohanan ini dan membantu cabaran negara,” kata Maniam. 
Dengan ketiadaan Nicol, undian semula terpaksa dilakukan, menyaksikan pasangan beregu wanitanya S.Sivasangari digandingkan dengan Chan Yi Wen dan diletakkan sebagai pilihan ke-3/4 bersama-sama Aika Azman-Lai Wen Li. 
Kedudukan Nicol-Sivasangari yang terdahulu diletakkan sebagai pilihan kedua di belakang pasangan adik-beradik Delia-Rachel Arnold diambil alih gandingan Aifa Azman-Andrea Lee. 
Perubahan juga berlaku dalam acara beregu campuran, di mana kedudukan Nafiizwan Adnan-Nicol selaku pilihan pertama diambil alih Sanjay Singh Chal-Delia, diikuti Ivan Yuen-Rachel dan Sivasangari-Shafiq Kamal .
 
Nafiizwan yang merupakan juara kebangsaan dua kali, hanya akan menumpukan perhatian pada acara beregu lelaki bersama gandingannya Ivan. Mereka merupakan pilihan kedua di belakang Zac Alexander-Rex Hendrick dari Australia. 
Lebih daripada 50 pasangan mengambil bahagian di kejohanan selama tiga hari dari 15-17 Disember ini, termasuklah dari Thailand, Indonesia dan Australia. 
- Advertisement -