KELEBIHAN tipis satu gol yang dimiliki UniKL tidak melunturkan semangat skuad TNB sebaliknya meniup semangat meluap-luap buat pemain untuk menutup laluan juara Liga itu ke perlawanan akhir Piala TNB apabila kedua-dua pasukan itu bertemu pada separuh akhir kedua esok.

Jurulatih TNB Nor Azlan Bakar mahu pemain melupakan kekalahan di separuh akhir pertama dan mengaggap peluang untuk barisan bimbingannya ke perlawanan akhir Sabtu ini masih terbuka luas.

“Kita tiada pilihan kecuali bermain macam tiada hari  esok. Nampaknya, dari latihan dua hari ini, semangat pemain berkobar-kobar mahu memastikan kita mampu menang sekurang-kurangnya satu piala musim ini,” kata beliau.

Nor Azlan berkata segala kelemahan ketara semasa tewas 0-1 di tangan UniKL tempoh hari sudah dikenalpasti terutama dari segi penyudahan dan jaringan padang.

Pengendali UniKL Megat Azrafiq Megat Termizi sememangnya menjangkakan serangan berhabis-habisan TNB. “Kami punya kelebihan tetapi bukanlah kelebihan yang selesa. Alhamdullilah, tiada kecederaan ke atas pemain dan saya sudah ingatkan pemain fokus sepanjang 60 minit nanti tanpa sebarang kelekaan,” kata beliau.

Beliau juga sudah mempersiapkan pasukannya untuk sebarang kemungkinan termasuk sekiranya berdepan pukulan penalti penentuan sekiranya perlawanan berkeputusan seri.

“Kita akan cuba selesaikan segalanya dalam 60 minit tetapi pada masa sama, sedia untuk sebarang kemungkinan seperti penalti penentuan,” kata Megat Azrafiq.

MAYBANK ATUR STRATEGI KHUSUS

KETINGGALAN dengan agregat 0-2, Maybank sudah mengatur strategi khusus untuk menterbalikkan keputusan biarpun sedar ia bukan satu tugas mudah.

Jurulatih Azrul Effendy Bistamam berkata selepas sesi latihan dua hari, beliau dapat melihat perubahan ketara dalam sikap dan semangat pemain yang tekad mahu mencipta keputusan mengejut esok berdepan THT esok.

“Kami sudah atur strategi khusus terutama dari segi teknikal dan serangan balas secara mengejut.

Kami masih menganggap diri kami sebagai pasukan underdog, jadi tiada rasa tertekan berdepan THT esok,” kata beliau.

Pengendali THT K.Rajan juga beranggapan tiada kelebihan daripada keputusan 2-0 itu sebaliknya peluang masih terbuka.

“Saya ingatkan pemain tidak terlalu yakin sebaliknya bermain bermati-matian esok. Kita sudah kenalpasti dan betulkan apa juga kelemahan menerusi sesi video sepanjang rehat dua hari ini… prestasi pemain juga semakin mantap dan saya gembira tiada kecederaan,” kata beliau.

JADUAL PERLAWANAN:

Separuh Akhir 2 (31 Mac)

Maybank mln THT (6pm) NHS 1

TNB mln UniKL (8 pm) NHS 1

- Advertisement -