Apit kiri yang juga ketua pasukan ATM Guardians, Norfaizzul Abd Razak tidak malu untuk mengakui dia hanya pandai bermain sepak takraw berbanding sukan-sukan lain seperti bolasepak, hoki, mahupun badminton.
Pemain yang mesra disapa Uda itu sudah berjinak-jinak dengan sukan tradisi ini sejak ketika berusia lima tahun dan mula aktif bermain sukan itu sejak berumur lapan tahun.
Kekerapan mengikut ayahnya, Abd Razak Amat bermain sepak takraw pada setiap petang membuat Norfaizzul jatuh cinta dengan keistimewaan sepak takraw yang padanya mempunyai keunikannya tersendiri.
“Saya terlibat dengan sepak takraw sejak kecil. Saya memang tak reti bermain sukan lain, cuma sepak takraw sahaja saya pandai.
“Sukan ini sudah seperti ‘darah daging’ dan sebati dalam diri saya kerana saya membesar dalam keluarga sepak takraw. Abang saya juga bermain sepak takraw dan sekarang menjadi apit kanan buat pasukan KL Thunder,” katanya.
Dalam masa sama, pemain berusia 22 tahun itu turut menanam impian untuk menjadi antara tiga pemain apit kiri terbaik Malaysia dan berharap dapat mewakili skuad kebangsaan kelak.
“Saya perlu berusaha lebih gigih daripada orang lain dan lakukan inisiatif sendiri kerana apa yang jurulatih bagi tidak cukup kalau saya mahu menjadi salah seorang apit kiri terbaik dalam negara.
“Saya belum pernah mendapat kesempatan untuk mewakili Malaysia dalam mana-mana kejohanan antarabangsa. Sudah tentu menjadi keinginan mana-mana pemain untuk menyarung jersi kebangsaan dan membawa nama negara, sama juga dengan saya, dan kalau boleh, saya mahu bantu Malaysia kalahkan Thailand,” jelasnya.
Dalam pada itu, berbicara mengenai saingan STL Champions Cup yang akan membuka tirai 7 Disember ini, pemain berasal dari Batu Pahat, Johor itu mengakui ATM Guardians berdepan tugas sukar dalam misi merebut tempat di separuh akhir.
“Sedikit terkilan lah kerana gagal membantu ATM Guardians menjuarai STL Premier walaupun sudah begitu hampir, kita kecewa pada saat akhir selepas memberi tentangan sengit.
“Bukan rezeki kita dan kini kami ada satu lagi peluang untuk menebus kecewa, memang sukar kerana semua pasukan membuat persiapan terbaik dan masing-masing sudah tahu apa kekuatan dan kelemahan, kami perlu kekal fokus dan kurangkan kesilapan,” ujar Norfaizzul yang diturunkan beraksi dalam kesemua 18 perlawanan STL Premier baru-baru ini.
ATM Guardians diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Negeri Sembilan Antlers, Perak Bison dan Johor Tigris.
Abang Norfaizzul iaitu perejam KL Thunder, Norhafizi Abd Razak pula akan berdepan cabaran daripada juara bertahan, Penang Black Panthers, Kelantan Warriors dan Sabah Mountaineers dalam Kumpulan A. MUHD AIMAN