Oleh Muhammad Aiman
Sejurus dilantik sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara rasmi pada Sabtu, Datuk Seri Norza Zakaria membuat keputusan drastik melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN).
Norza yang mengumumkan mengenai keputusan itu selepas berakhir Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-72 badan induk itu di Petaling Jaya turut berundur sebagai Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap tugas sebagai Presiden BAM.
“Ia satu tanggungjawab besar buat saya untuk meletakkan Malaysia kembali sebagai kuasa besar badminton. Sebelum ini orang selalu kata saya banyak pegang jawatan, jadi saya kurangkan. Sepertimana telah saya janjikan, saya lepaskan dua jawatan itu berkuatkuasa serta merta.
“Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin. Saya juga akan menjelaskan perkara ini kepada ahli lembaga pengarah ISN dalam mesyuarat akan datang. Siapa yang akan ganti tempat saya, itu kuasa mutlak menteri.
“Saya akan beri tumpuan sepenuhnya kepada BAM dan bekerjasama erat dengan semua persatuan negeri bagi melaksanakan segala apa yang sudah dirancang demi kemajuan badminton negara,” kata Norza pada sidang media selepas AGM.
Pada AGM itu juga Majlis BAM sebulat suara memilih calon yang ditewaskan menerusi ‘gentlemen agreement’ yang juga pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid sebagai Penasihat, manakala bekas presiden, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dipilih memegang jawatan sebagai Presiden Kehormat BAM.
Sementara itu, bercakap mengenai antara sasaran awal bagi penggal 2017-2021, Norza berkata, “Kita tidak boleh terlalu mengenangkan kejayaan meraih pingat perak di Sukan Olimpik serta naib juara pada Piala Thomas 2014. Kita perlu fikir bagaimana untuk hasilkan pemain terbaik menjelang Olimpik 2020.
“Kita sasarkan dua pemain akan melayakkan diri dalam setiap acara dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, sekali gus mencerahkan peluang negara meraih pingat emas Olimpik pertama. Justeru untuk itu kita akan buat penilaian khusus terhadap setiap pemain bagi memastikan mereka mampu menampilkan aksi yang dimahukan apabila bermain pada kejohanan berprestij.”