Oleh Ku Mohd Lufti
Susulan ‘gentlemen’s agreement’ melibat dua individu dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria merasakan tidak perlu untuk memanjang perkara tersebut.
Norza mahu mengadakan pertemuan dengan pemangku Presiden , Tan Sri Al Amin Abdul Majid sebelum mesyuarat badan induk itu pada 8 April sekaligus menamatkan isu perjanjian tidak rasmi berkaitan jawatan Presiden BAM.
“Sebagai individu dalam kepimpinan BAM, seboleh-bolehnya kita mahu mengekalkan tradisi persatuan iaitu tiada perebutan jawatan (presiden) yang boleh menyebabkan organisasi berada dalam keadaan tidak menentu,” kata Norza.
Tambahnya lagi, pertemuan dengan Al Amin bertujuan tidak mahu meletakkan anggota gabungan terutamanya di peringkat negeri berada dalam keadaan serba salah.
Malah, Norza berharap agar semua pemimpin dalam BAM menghormati pendapat, Tengku Mahaleel yang masih memegang jawatan sebagai Presiden BAM sehingga kini.
Tengku Mahaleel berehat daripada memegang jawatan itu sejak Oktober 2015, membuat perjanjian dengan Norza dimana menurut perjanjian itu, Al-Amin yang juga Timbalan Presiden BAM akan memangku jawatan presiden sehingga tamat Sukan Olimpik Rio 2016 atau berakhirnya penggal jawatankuasa sedia ada.
Bagaimanapun, Al-Amin yang turut berminat untuk menduduki kerusi nombor satu badan induk itu menafikan penglibatannya dengan ‘gentlemen’s agreement’.
“Bagi saya perkara ini (gentlemen’s agreement) harus diselesaikan secara dalaman, saya tahu perkara ini sangat sensitif.
“Sebagai organisasi yang menerajui sukan nombor satu negara iaitu badminton dan persatuan sukan yang mempunyai rekod terbaik dalam urus tadbir, seharusnya kita mengekalkan imej itu daripada terjerumus dalam perebutan kuasa yang boleh mendorong kepada perkara tidak baik,” kata Norza lagi.
Malah, Norza tetap dengan pendiriannya untuk bertanding bagi jawatan Presiden BAM.
“Setelah diberi mandat oleh Presiden (Tengku Mahaleel) untuk menjadi Pengerusi C&T (Kejurulatihan dan Latihan), ia adalah satu proses untuk diri saya bersiap sedia memegang jawatan Presiden BAM.
“Saya sudah bersedia memegang jawatan presiden dan berharap kemelut ini dapat diselesaikan sebaik mungkin,” jelasnya.