Berbekalkan motivasi tersendiri, atlet petanque negara, Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz optimis mampu tewaskan juara dunia dari Thailand, Phantipha Wingchuvej dalam acara beregu wanita pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos nanti.
“Memang saya akui Phantipha sangat hebat dan saya lihat sendiri aksinya di Belgium tempoh hari, namun kali ini beliau akan beraksi dalam kategori beregu dimana pasangannya baharu digandingkan.
“Jadi, saya ambil perkara itu sebagai kelebihan dan memotivasikan diri saya kerana saya dan pasangan (Sharifah Aqilah Farhana Syed Ali) sudah lama digandingkan bersama dan kami sudah mempunyai persefahaman yang baik,” katanya selepas menerima pingat pada Kejohanan Petanque Antara Negeri semalam (23 Julai).
Pada kejohanan itu, Nur Thahira bersama gandingannya, Sharifah Aqilah serta dua lagi rakan sepasukan, Anis Amira Basri dan Suhartisera Zamri yang mewakili Persatuan Petanque Malaysia (PPM) muncul naib juara setelah tewas 11-13 pada aksi final.
Juara kategori tersebut menjadi milik trio yang akan mewakili skuad negara pada KL2017 nanti yang dibarisi Nur Farah Hana Musa, Nur Iman Aina Ahmad Sabti, Nurul Atiqah Abu Talib, dan Nurashimah Senin.
Terdahulu, Nur Thahira digandingkan dengan Syed Akmal Fikri Syed Ali menewaskan penyandang juara Kejohanan Petanque Dunia di Belgium, April lalu membuka mata dunia bahawa cabaran petanque negara kini tidak boleh dipandang mudah.
Walaupun hanya meraih pingat gangsa dalam kejohanan dunia itu, namun ia adalah kejayaan pertama Malaysia pada peringkat dunia.
Sebelum ini, skuad petanque negara yakin dapat mengharumkan nama negara dengan meletakkan sasaran dua pingat emas pada temasya Sukan SEA KL2017 Ogos depan. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI