Nurul Faizah Asma Mazlan berpuas hati dengan catatan masa 63.17 saat berbanding catatan masa di Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) ke-22 di India baru-baru ini iaitu 63.60 saat.
Walaupun hanya menduduki tempat kedua dengan meraih pingat perak, pelari jarak sederhana itu nyata bersemangat untuk memperbaiki setiap kelemahan bagi mempersiapkan dirinya untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos depan.
“Alhamdulillah dapat nombor dua, tapi kalau nak ikutkan catatan masa 63.60 saat sebelum ini di India, boleh dikatakan catatan masa saya untuk Pra Sukan SEA ini agak memberangsangkan juga sebab dapat membaiki catatan masa yang lepas,” katanya ketika ditemui di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi (17 Julai).
Mengulas lanjut mengenai sasaran bagi KL2017, Faizah berkata beliau optimis meletakkan sasaran bagi mendapatkan pingat tanpa mengira warna untuk negara.
“Untuk sukan SEA ini, buat pertama kalinya saya mengambil bahagian dalam acara 400 meter berpagar berbanding sukan SEA yang lepas saya hanya ambil acara 400 meter sahaja. Jadi acara ini baru bagi saya namun saya sedaya upaya akan lakukan terbaik untuk negara,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Saidatul Izatti Suhaimi berharap dengan keputusan Kejohanan Pra Sukan SEA 2017 ini dapat melayakkan beliau untuk menyertai skuad negara acara atletik.
Sebelum ini, pemenang pingat gangsa itu baru sahaja pulih dari kecederaan hamstring dan hanya menjalani latihan ringan sahaja sejak bulan Mei namun kecekalan dan kegigihan beliau membuktikan beliau mampu memenangi pingat gangsa di acara tersebut.
Bagi acara balapan 400 meter berpagar lelaki pula, kedudukan pertama dimenangi pelari dari Vietnam, Quach Cong Lich dengan catatan masa 51.03 saat memadam rekod kebangsaan, 51.28 saat yang disandang oleh Mohd Shahadan Jamaluddin pada tahun 2005 di Filipina.
Kedudukan kedua dimenangi pelari dari Sarawak, Lee Yong Quek dengan catatan masa 52.36 saat diikuti dengan kedudukan ketiga meraih pingat gangsa dimenangi pelari dari Johor iaitu Mohd Farhan Hafsyam Zahid dengan catatan masa beza 0.32 saat, iaitu 52.64 saat. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI