20160108-Nusajaya BC(black)-Boonsak Ponsana-003

Nusajaya BC mengakhiri kempen Resorts World Genting Purple League 2015 dengan nota kemenangan, namun kemenangan 12-7 ke atas Bangsar Hawks tidak memadai untuk membolehkan mereka memintas Serdang BC yang berada di tangga kelapan – kedudukan terakhir yang melayakkan mereka untuk beraksi dalam saingan Champions Challenge yang akan bermula 12 Januari ini.

Nusajaya perlu menang dengan defisit besar ke atas Bangsar Hawks untuk mempunyai sebarang peluang mengejar kedudukan Serdang, dan mereka bermula dengan cemerlang untuk mendahului 6-1 selepas Chong Yee Han bangkit untuk menewaskan Wan Mas Ami Wan Sidik 3-1 diikuti kemenangan 3-0 yang dicatat Lee Ying Ying ke atas Lee Zii Yii.

Pemain Thailand Boonsak Ponsana melengkapkan kemenangan buat Nusajaya apabila menewaskan Thomi Azizan Mahbub 3-1 (10-11, 11-10, 11-4, 11-9) namun kekalahan 0-3 pasangan beregu campuran Cheah Yee See/Tan Jinn Hwa serta aksi goyah Goh Soon Huat/Teo Kok Siang yang terpaksa bangkit dari ketinggalan dua set untuk menang 3-2 ke atas Agrippina Primarahmanto/Irfan Fadhilah menyaksikan Nusajaya sekadar beroleh kemenangan dengan defisit kecil lima mata.

Jurulatih Nusajaya, Julia Wong berkata ianya nyata sukar untuk pasukannya mengejar beza mata yang terlalu jauh terutamanya setelah tewas enam perlawanan berturut-turut dan berpendapat pencapaian pasukan itu mungkin jauh lebih baik seandainya dapat menurunkan barisan pemain terkuat pada setiap perlawanan.

“Kita menang dua perlawanan pada minggu pembukaan, tetapi ketika itu kami mempunyai pasukan terkuat kami di sini. Ketika itu kita ada Boonsak, (Hoon) Tien How, Emilia (Alicia), Cecilia, (Lim) Kim Wah pun ada tetapi kita kehilangan khidmat mereka apabila saingan liga masuk ke pertengahan.

“Mereka banyak terlibat dengan kejohanan antarabangsa. Ini sedikit sebanyak menganggu persiapan kami, sehinggakan kami tidak mempunyai pemain yang cukup, malah terpaksa menurunkan pemain perseorangan untuk beraksi dalam acara beregu,” ujar Julia. 

Julia yang masih lagi aktif sebagai pemain bagaimanapun mengakui saingan Purple League telah banyak membantu meningkatkan prestasi pemain khususnya pemain muda dan yakin ia adalah platform yang terbaik untuk melahirkan lebih ramai pemain remaja yang berkualiti tinggi.

Bagi Bangsar Hawks pula, mereka menutup kempen dengan kekalahan kesepuluh berturut-turut setelah hanya menang pada perlawanan pembuka tirai.

Jurulatih Razif Sidek berpendapat pencapaian menduduki tangga kesebelas dari 12 pasukan yang bertanding bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi dalam masa sama menganggap ianya lebih baik dari kedudukan tahun lalu yang mana mereka berakhir di tempat tercorot.

“Kita tahu kita bukan pasukan pilihan, kita tiada pemain handal. Tidak banyak harapan kita letakkan. Saya lihat pemain dah mencuba, ada yang kurang mencuba. Pemain perlu ada semangat tinggi, kena bekerja keras. Apapun, kedudukan kesebelas tidaklah teruk kerana kita di bawah pengurusan baru, pengalaman baru dan kita perbaiki kedudukan ke-12 tahun lalu.” 

20160108-Nusajaya BC(black)-Goh Soon Huat & Teo Kok Siang-001

 

 

- Advertisement -