9th ASEAN Para Games KL2017 - 200M Men T36 Gold Medallist - Malaysia Mohd Ridzuan Mohd Puzi
9th ASEAN Para Games KL2017 – 200M Men T36 Gold Medallist – Malaysia Mohd Ridzuan Mohd Puzi

9th ASEAN Para Games 2017 - RIMAU MaskotMalaysia mengakhiri cabaran di lapangan olahraga Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dengan tambahan tujuh emas, enam perak dan tujuh gangsa.

Jumlah itu membawa kepada keseluruhan 36 emas, 27 perak dan 30 gangsa namun gagal untuk mencapai sasaran 40 emas yang ditetapkan pasukan olahraga negara.

Pada hari terakhir saingan di Stadium Nasional Bukit Jalil, dua ikon sukan para – juara dunia Abdul Latiff Romly dan pemenang emas paralimpik Mohd Ridzuan Puzi – antara yang menyumbang emas buat Malaysia.

Abdul Latiff yang beraksi dalam kesakitan akibat kecederaan buku lali menebus kegagalan untuk menyerlah di Sukan SEA bulan lalu dengan mengungguli acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) apabila muncul pemenang dengan lompatan 7.41m yang dilakukannya pada percubaan pertama.

Olahragawan Kebangsaan 2016 itu menewaskan atlet Singapura, Suhairi Suhani yang berpuas hati dengan perak dan seorang lagi atlet negara, Zulkifly Abdullah yang memenangi gangsa.

9th ASEAN Para Games KL2017 – 200M Men T36 Gold Medallist – Malaysia Mohd Ridzuan Mohd Puzi

Mohamad Ridzuan pula membuktikan dia sememangnya atlet luar biasa apabila mudah mengungguli acara 200m T36 (celebral palsy) walaupun belum pulih sepenuhnya dari demam denggi.

Mohamad Ridzuan sebelum ini dilaporkan tidak akan mengambil bahagian dalam mana-mana acara di Para KL2017 kerana disyaki mengalami demam denggi sejak seminggu lalu malah menarik diri dari acara 100m dan 400m T36.

Atlet kelahiran Perlis itu mengerah sepenuh kudratnya untuk melintasi garisan penamat dengan catatan masa 26.03s, menewaskan pelari Indonesia Agung Laksana yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala seorang lagi atlet negara Rezza Rashid meraih gangsa.

9th ASEAN Para Games KL2017 – Shot Put Men F56 Gold Medallist – Faridul Masri

Sementara itu, Faridul Masri yang pertama kali mengambil bahagian dalam acara lontar peluru F56 (berkerusi roda) pula melakar kejutan setelah memenangi emas dengan lontaran sejauh 9.24m. Ia adalah emas kedua peribadi Faridul di temasya ini.

Pingat perak dimenangi oleh Trinh Cong Luan dari Vietnam manakala gangsa menjadi milik Phanphinit Sommay dari Thailand.

9th ASEAN Para Games KL2017 – 200M Men T42 T43 T44 Gold Medal – Thavanesvaran

S.Thavaneshvaran pula mencuri tumpuan apabila memenangi pingat emas ketiga peribadinya pada edisi kali ini menerusi acara 200m T42/43/44 (kecacatan anggota) dengan catatan masa 24.15s.

9th ASEAN Para Games KL2017 – Shot Put Women F42 F44 Gold Medallist – Malaysia Doriah Poulus

Turut menyumbang emas pada Jumaat adalah Doriah Paulus menerusi acara lontar peluru F42/44 (kecacatan anggota). Atlet kelahiran Sabah itu memenangi emas kedua peribadinya dengan lontaran sejauh 9.46m.

Muhamad Afiq Ali pula turut meraih emas kedua peribadi setelah mempertahankan pingat emas acara 200m T12 (masalah penglihatan) dengan catatan masa 23.56s, mengatasi dua pelari Thailand Wongngoen Amnat dan Chaiya Somdech.

9th ASEAN Para Games KL2017 – Javelin Throw Men F35 Gold Medallist – Malaysia Mohd Rozi Bin Mat

Satu lagi emas kontijen negara diraih oleh Mohd Rozi Mat Hasin menerusi acara merejam lembing F35 (celebral palsy) dengan rejaman sejauh 27.52m.

Apa kata mereka :

 

9th ASEAN Para Games KL2017 – Men’s Long Jump T20 – Malaysia Abdul Latif bin Romly

Abdul Latiff Romly (lompat jauh) : Memang saya berasa yakin dapat menang emas sebelum turun, sasaran saya mahu memperbaiki catatan peribadi terbaik. Kecewa sikit tidak dapat pecahkan rekod temasya milik sendiri tapi saya tetap gembira dapat mempertahan emas buat kali ketiga. Terima kasih juga kepada Raja Muda Perlis yang datang memberi sokongan bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

 

9th ASEAN Para Games KL2017 – Shot Put Men T56 Gold Medallist – Malaysia Faridul Masri

Faridul Masri (lontar peluru) : Saya sebenarnya tidak jangka pun akan meraih emas lontar peluru kerana saya hanya buat latihan macam biasa, dan fokus saya lebih kepada acara merejam lembing. Saya akui trauma apabila lihat atlet Vietnam, Trinh Cong Luan beraksi, saya tiga kali kalah kepadanya, tetapi apabila saya nampak ahli keluarga datang memberikan sokongan, perasaan itu terus hilang. Jadi pingat emas ini saya tujukan kepada keluarga yang banyak memberikan sokongan dan jurulatih kerana saya sedar, bukan mudah menjaga kami, serba kekurangan.

- Advertisement -