Malaysia mengutip lapan lagi pingat emas pada hari ketiga olahraga dipertandingkan di temasya Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017. Selain itu, pasukan olahraga para negara turut menambah tujuh pingat emas dan sembilan gangsa menjadikan jumlah keseluruhan kepada 22 emas, 12 perak dan 19 gangsa.
Muhammad Ashraf Haisham menghadiahkan emas pertama negara dengan mengungguli acara 1,500m T46 (kecacatan anggota).
Lebih manis, atlet itu melintasi garisan penamat dengan catatan rekod baru kejohanan 4:24.73s mengatasi rekod lama 4:27.90s berusia 12 tahun dipegang oleh Isidro Bildosola dari Filipina.
Pingat perak menjadi milik pelari Vietnam, Tran Van Duc manakala Erens Sabandar memenangi gangsa.
Siti Noor Iasah Mohamad Arifin memenangi emas keduanya di temasya ini setelah mengungguli acara 400m wanita T20 (masalah intelektual) dengan catatan masa 60.86s.
Turut memenangi emas kedua peribadi adalah S.Thavaneshvaran yang mengungguli acara 100m lelaki T42/43/44 (kecacatan anggota) dengan catatan masa 12.06s.
Atlet itu berkesudahan hanya 0.02saat di hadapan pemenang pingat perak, Rasyidi dari Indonesia manakala gangsa menjadi milik pelari Thailand, Uamsamut Suthis.
Bajury Ladis yang beraksi dalam acara lontar peluru F35 (kecacatan tangan) tidak mengecewakan apabila meraih emas dengan lontaran sejauh 7.51m, mengatasi Alihan Muda dari Brunei yang memenangi perak dan seorang lagi atlet negara, Sabarudding Bacho yang memenangi gangsa.
Shamli Waidi pula cemerlang memenangi emas dalam acara merejam lembing (600g) lelaki F36/37 (celebral palsy) dengan rejaman sejauh 37.21m.
Pingat perak dimenangi Ahmad Fauzi dari Indonesia manakala gangsa menjadi milik atlet negara, Tomson Lim Kok Hon.
Pelari 100m lelaki T45/46 (kecacatan anggota), Ahmad Solihim Mohd Nor turut menyumbang emas dengan catatan masa 11.58s, mengatasi dua atlet Vietnam, Phung Dinh Tu yang memenangi perak dan Mai Anh Minh yang memenangi gangsa.
Dua lagi emas disumbangkan oleh Umi Syuhadah Idris menerusi acara merejam lembing wanita F37 (celebral palsy) dan lempar cakera wanita F37.