Skuad olahraga paralimpik negara meletakkan sasaran untuk meraih 40 pingat emas di temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur yang akan berlangsung dari 17-23 September depan.
Olahraga di Para ASEAN akan mempertandingkan 133 emas dan ketua jurulatih, R.Jaganathan berkata sasaran 40 emas adalah realistik setelah mengambil kira persiapan serta kekuatan kontinjen olahraga negara seramai 72 atlet.
“Sasaran ini kita letakkan setelah menilai pelbagai perkara. Saya percaya atlet kita ketika ini berada dalam tahap terbaik dan bebas kecederaan. Berbekalkan semangat dan pengalaman yang ada pada atlet, saya yakin jumlah itu boleh dicapai sekaligus memperbaiki pencapaian 27 emas di Singapura dua tahun lalu.
“24 daripada 72 atlet kita kali ini adalah atlet muda berpotensi besar yang mewakili negara buat pertama kali di Para ASEAN. Mereka juga gigih menjalani latihan intensif dan telah mendapat pendedahan yang wajar, kita sasarkan mereka akan menyumbang lima atau enam emas,” kata Jaganathan.
Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad olahraga di Para ASEAN adalah 38 emas yang dilakukan di temasya Myanmar 2013 dan Indonesia 2011.
Jaganathan yang membimbing Mohd Ridzuan Puzi memenangi pingat emas di temasya Sukan Paralimpik di Rio De Janeiro tahun lalu turut memaklumkan hanya seorang atlet iaitu Mohd Nordin Ibrahim sah akan mengambil bahagian dalam tiga acara iaitu 800m, 1500m dan 5000m.
“Kebanyakan atlet senior ambil bahagian dua acara, Ridzuan pula bergantung kepada keadaan dia. Kita senaraikan dia untuk 100m, 200m dan 400m tetapi untuk acara dia, tiada rehat, tiga hari berturut-turut jadi kita akan nilai keadaan dia terlebih dahulu,” ujarnya.
Sementara itu, pengurus pasukan Mohd Zarrawi Ravi Abdullah mengingatkan kesemua atlet agar menjaga pemakanan agar isu keracunan makanan yang berlaku ke atas Abdul Latiff Romly pada Sukan SEA lalu tidak berulang.OLEH MUHAMMAD AIMAN