Oleh Muhammad Aiman
Sejumlah tujuh atlet negara yang menuntut di Universiti Malaya (UM) dihargai selepas beraksi di temasya Olimpik Rio 2016 di Malam Anugerah Sukan UM yang dilangsungkan dengan penuh gilang gemilang di Dewan Semarak, Akademi Pengajian Melayu semalam.
Pandelela Rinong Pamg, Wendy Ng Yan Yee, Ahmad Amsyar Azman (terjun), Haziq Kamaruddin (memanah), Nauraj Singh Randhawa (olahraga), Vivian Hoo Kah Mun, Woon Khe Wei (badminton) menerima Anugerah Lencana Khas Sukan Universiti.
Anugerah ini telah diperkenalkan sekian lama dan diberikan setiap tahun kepada atlet UM demi meghargai jasa mereka yang mengharumkan nama negara di kejohanan peringkat antarabangsa sepanjang 2016 selain mengiktiraf pencapaian mereka yang luar biasa.
“Diharapkan anugerah ini dapat menyuntik semangat atlet UM lain untuk menjadikan mereka sebagai inspirasi seterusnya turut mengikut jejak langkah atlit Olimpian pada masa akan datang,” kata Pengarah Pusat Sukan, Professor Dr Zulqarnain Mohamed.
Atlet lompat tinggi, Nauraj yang meraih kedudukan ke-18 pada penampilan pertamanya di pentas Olimpik apabila melepasi ketinggian 2.26m telah dinobatkan sebagai Olahragawan UM.
Beliau mengatasi pemanah negara Haziq Kamaruddin dan pemain badminton negara Iskandar Zulkarnain yang membantu skuad negara mara ke separuh akhir Piala Thomas.
Pada majlis tersebut, ratu terjun negara, Pandelela, Choo Kang Ni (olahraga) dan Ti Wei Chyi (badminton) dicalonkan sebagai Olahragawati.
Pandelela muncul sebagai atlit wanita pertama negara meraih pingat dalam temasya Olimpik menerusi kejayaannya meraih perak dalam 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong dari Universiti Putra Malaysia.
Selain tujuh olimpian tersebut, malam itu turut menyaksikan enam atlet badminton, satu daripada skuad bola keranjang, satu daripada pasukan ragbi, dan dua atlit skuasy diraikan atas pencapaian mereka mewakili Malaysia di Kejohanan Universiti Dunia (WUC). Atlet Ragbi berkenaan Muhamad Amirul Aqil Kamsol turut cemerlang apabila berjaya mencipta sejarah dalam menjuarai Asian Rugby Championship Division 1, 2016 selain memainkan peranan sebagai salah seorang pemain utama didalam pasukan.
Sementara seorang pemain catur, Alia Anin Azwa Bakri membanggakan negara menerusi penampilannya di 42nd World Chess Olympiad, Baku, Azerbaijan 2016. Manakala enam atlit olahraga, sembilan atlit Badminton dan seorang atlit Renang diraikan selepas mengharumkan nama negara di Sukan Universiti Asean (AUG) Singapura 2016.
Selain Anugerah Lencana Khas, Anugerah Pengarah Pusat Sukan juga turut diberikan kepada atlet. Anugerah ini diberikan kepada atlet yang kerap mengharumkan nama negara melalui pengilabatan diperingkat antarabangsa saban tahun.
Selain anugerah Olahrawan & Olahragwati, anugerah tertinggi yang diberikan adalah Anugerah Lencana Biru. Anugerah ini tidak diberikan setiap tahun sekiranya tiada pelajar yang layak menerimanya. Pada tahun ini terdapat dua orang calon telah berjaya menerima Anugerah ini iaitu Muhamad Amirul Aqil Kamsol(Ragbi) & Alia Anin Azwa Bakri (Catur).