Penganjur sukan Olimpik Tokyo 2020 berkemungkinan tidak akan mengenakan syarat kuarantin selama dua minggu ketika temasya terbesar dunia itu berlangsung pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Olimpik Tokyo 2020 Toshiro Muto menjelaskan, atlet, pegawai dan penonton yang akan datang ke Jepun berkemungkinan tidak perlu menjalani kuarantin dua minggu seperti yang dilakukan ketika ini.

Jelas Toshiro, mereka yang terlibat termasuklah penonton hanya perlu mengemukakan dokumen yang kukuh menyatakan mereka bebas daripada sebarang jangkitan Covid 19 dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas ke Jepun.

Cadangan dan maklumat lengkap prosedur yang perlu dilakukan masih lagi dalam peringkat perbincangan dan akan diumumkan pada tahun depan.

Kemasukan penonton dari luar negara turut bergantung kepada keadaan semasa pandemik Covid 19 di seluruh dunia sebelum cadangan lengkap dibentangkan.

Bagi penganjur, kaedah kuarantin mungkin tidak sesuai ketika temasya Sukan Olimpik berlangsung sekitar Julai tahun depan.

Jepun telah mengadakan kejohanan percubaan termasuk sukan gimnastik melibatkan empat negara dimana penonton yang dikawal sepenuhnya turut diberi kebenaran untuk menyaksikan acara tersebut 

Presiden Jawatankuasa Olimpik (IOC), Thomas Bach dijangka akan mengadakan lawatan ke Jepun selama tiga hari minggu depan dan akan diberikan taklimat tentang langkah pencegahan Covid 19 yang akan diperkenalkan bagi temasya Sukan Olimpik 2020.

 

- Advertisement -