Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan nampaknya berdepan cabaran lebih sukar dari dijangka untuk memastikan pasukan itu terus kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Bibi telah bekerja keras sepanjang tiga minggu mengambil alih kerusi panas jawatan presiden KAFA dengan menyelesaikan tunggakan gaji pemain serta pegawai bagi menerap semangat dan motivasi positif di kem Kelantan yang bergelut dengan prestasi sepanjang tahun ini.

Namun itu jelas tidak memadai apabila dia kini perlu menangani pula konspirasi di kalangan pemain dan individu tertentu yang mahu menyaksikan Kelantan tewas pada aksi terakhir liga menentang Melaka United seterusnya tersingkir ke Liga Premier.

Mengesahkan perkara itu, Bibi berkata, “Memang ada agenda di luar kem sedang berlaku, kita telah mendapat maklumat dan sedang mengumpul bukti mengenai hal ini. Saya tidak mahu ia menjejaskan motivasi pemain-pemain yang tidak terlibat, semoga kita semua bersatu dan kuasa Allah dapat mengatasi semuanya.”

Khabar angin mengenai konspirasi ini tersebar luas di media sosial apabila dilaporkan seorang individu bergelar Datuk yang juga merupakan Exco KAFA telah mengadakan pertemuan dengan lima pemain Kelantan di sebuah hotel.

Malah, Datuk itu juga telah menawarkan habuan untuk memastikan skuad bimbingan Zahasmi Ismail itu tewas kepada Melaka pada 28 Oktober nanti dalam aksi di Stadium Hang Jebat.

Untuk rekod, Kelantan ketika ini berada di tangga kesebelas liga dengan 19 mata – satu mata di belakang Sarawak dan tiga mata di belakang T-Team. Mereka akan kekal dalam Liga Super andai berjaya mencatat kemenangan ke atas Melaka, walau apa pun jaringannya.

Persoalan yang timbul ketika ini, apakah individu terbabit hanya melakukan perkara ini untuk perlawanan menentang Melaka sahaja atas kepentingan tertentu atau sememangnya bertanggungjawab sejak dari awal untuk merosakkan bolasepak Kelantan?

Jika ya, apa motif dan siapa dalangnya? Kenapa perlu orang dalam sendiri mahu melihat pasukan ini tewas dan tersingkir? Atau adakah individu berkenaan terbabit dengan kegiatan menjual perlawanan (bookie)?

Konspirasi menjatuhkan pasukan atau bookie, pokoknya ia sudah boleh dianggap kegiatan menjual perlawanan. Ia tidak boleh dipandang sebelah mata justeru jika bukti dapat dikumpul maka sudah tentunya penyokong semua mengharapkan puan presiden juga berani untuk mendedahkan dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras kegiatan tidak bermoral ini. OLEH MUHD AIMAN 

 

 

 

- Advertisement -