Pelumba TSG dari Russia, Artem Ovechkin mengungguli Peringkat 5 Le Tour de Langkawi 2018 dari Bentong ke Cameron Highlands hari ini, sekali gus merampas jersi kuning pendahulu keseluruhan serta jersi polka dot Raja Bukit ketika saingan edisi ke-23 ini berbaki tiga peringkat.
Dianggap peringkat penentuan kerana pendakian sukar di kawasan tanah tinggi pelancongan itu, Ovechkin yang dilamar pasukan TSG kira-kira seminggu sebelum bermula jelajah terunggul Asia itu, menepati ciri-ciri yang diperlukan oleh pasukan berpangkalan di Kuala Terengganu itu yang turut muncul sebagai pasukan terbaik.
Selain menyaksikan jersi kuning bertukar tangan buat kali keempat selepas lima peringkat, Ovechkin yang menjuarai jersi kuning dan memenangi satu peringkat di Jelajah Antalya, Turki sebelum hadir bersama TSG dalam LTdL, turut merampas jersi Raja Bukit, manakala jersi putih Pelumba Terbaik Asia turut bertukar tangan kepada pelumba Astana Pro Team dari Kazakhstan, Yevgeniy Gidich.
Pakar pecut Astana, Riccardo Minali masih mengekalkan jersi hijau Raja Pecut dengan 40 mata, 4 mata di depan Andrea Guardini (Bardiani-CSF).
Ovechkin, tiba di garisan penamat secara solo selepas berkayuh 169km dengan catatan 4 jam 24 minit 29 saat, meninggalkan pelumba tempat kedua dari St George Continental Cycling Team, Benjamin Dyball yang ketinggalan 28 saat, serta 55 saat di depan pelumba tempat ketiga dari Dimension Data, Amanuel Ghebreigzabhier.
Dia kini menduduki carta teratas kedudukan individu berpasukan dengan masa keseluruhan 21 jam 21 minit 34 saat, hanya 32 saat di depan Dyball dan 59 saat di depan pelumba Mitchelson Bikeexchange, Harrison Sweeny.
Dalam klasifikasi Raja Bukit pula, Ovechkin yang menyapu mata maksimum dalam dua zon pendakian kategori 1 di Ringlet dan kategori Hors di Tanah Rata, kini mengumpul 40 mata, 12 mata di depan pelumba Forca Amskins, Alvaro Raul Duarte Sandoval.
TSG yang menurunkan Metkel Eyob dan Drew Morey turut mengungguli kedudukan teratas senarai berpasukan keseluruhan, 2 minit 6 saat di depan Astana dan 2:11s di depan Kinan Cycling Team.
Segala-galanya bermula dengan tindakan Ovechkin untuk membuat pemecahan meloloskan diri ketika menghampiri zon pendakian di Ringlet dan walaupun cuba dikejar sekumpulan lapan pelumba lain, pelumba kelahiran Berdsk berusia 32 tahun itu yang suatu ketika berada 1 minit 40 saat, dapat mengekalkan kedudukannya untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat bagi peringkat dianggap penentuan itu.
“Ketika menghampiri zon pendakian pertama, saya meloloskan diri dan walaupun cuba dikejar beberapa pelumba, mereka gagal dan selepas itu saya hanya memberi tumpuan kepada rentak sendiri.
“Ini kemenangan manis dan terbesar dalam jelajah 2HC dalam karier saya dan lebih manis kerana menang dua jersi serentak. Tetapi masih ada 3 peringkat lagi dan saya pasti kami mampu mempertahankannya walaupun Peringkat 7 (Nilai-Muar) adalah peringkat yang panjang.
“Kami belum boleh meraikan kejayaan di LTdL ini dan saya pasti pasukan TSG akan perbincangan malam ini untuk memasang strategi yang sesuai selepas ini,” kata Ovechkin.
Sementara itu, Gidich yang disasarkan Astana untuk menang di Cameron, berkata dia terpaksa berpuas hati dengan jersi putih yang dirampas dari pelumba Forca, Nik Mohd Azwan Zulkiflie yang menamatkan kayuhan di tempat ke-62 pada peringkat itu.
“Memang kecewa tapi inilah perlumbaan, dan saya tiada nasib hari ini walaupun Astana adalah sebuah pasukan WorldTour. Semua rakan sepasukan sudah membantu dalam perlumbaan tadi,” katanya.
Minali pula berkata, walaupun gagal memenangi jersi kuning di Cameron, cabaran Astana belum berakhir dan akan cuba melakukan sesuatu untuk Gidich pada baki peringkat selepas ini.
Pelumba terbaik tempatan pada peringkat itu ialah pelumba muda Forca Amskins, Muhammad Nur Aiman Zariff yang sekadar menduduki tempat ke-42, yang tiba 2:57s selepas Ovechkin menamatkan kayuhan.
Esok, LTdL 2018 diteruskan dengan Peringkat 6 yang pendek dan landai dari Tapah ke Tanjung Malim sejauh 108.5km, dengan pakar pecut dijangka akan menghiasi podium pemenang dan mungkin menyaksikan pertukaran dalam jersi hijau.
Perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,341.2 km berstatus 2.HC dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu akan disertai 22 pasukan dan laluannya melibatkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.
LTdL 2018 dianjurkan Ciclista Sports dengan sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.
RESULTS
STAGE
- Artem Ovechkin – TSG – 4:24:29
- Benjamin Dyball – ST.GEORGE CONTINENTAL – 4:24:57
- Amanuel Werkilul – DIMENSION DATA – 4:25:24
OVERALL
- Artem Ovechkin – TSG – 21:21:34
- Benjamin Dyball – ST.GEORGE CONTINENTAL – 21:22:06
- Harrison Sweeney – MITCHELTON BIKEEXCHANGE – 21:22:33
BEST SPRINTERS’ (GREEN JERSEY)
- Riccardo Minali – ASTANA – 43 points
- Andrea Guardini –BARDINI – 39 points
- Kim Daeyeon – KSPO – 27 points
BEST CLIMBERS’ (RED POLKA DOT JERSEY)
- Artem Ovechkin – TSG – 40 points
- Alvaro Sandoval – Forca Amskins – 28 points
- Bernardo Arango – Manzana Postobon – 27 points