Penolong jurulatih Selangor, Rusdi Suparman mengakui pemainnya bermain sambil lewa dan tidak serius ketika kekalahan 1-2 kepada pasukan bermasalah, Kelantan pada Rabu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Kota Bharu. 

“Pemain-pemain mungkin memandang rendah pada pasukan lawan yang berada di kedudukan tercorot dan dilihat mengalami kemerosotan prestasi. Itu tidak sepatutnya berlaku kerana setiap perlawanan adalah penting dan kita tidak sepatutnya kehilangan mata,” kata Rusdi selepas perlawanan.

Kelantan mencatat kemenangan keempat mereka musim ini menerusi jaringan Shafiq Shaharudin (m-34) dan Danial Ashraff Abdullah empat minit sebelum tamat perlawanan manakala Selangor beroleh gol menerusi Sean Eugen Selvaraj (m-77).

Akibat kekalahan itu, Selangor terlepas peluang untuk menjarakkan diri dari zon penyingkiran dan kini mereka turut menyertai perjuangan untuk terus kekal dalam Liga Super.

Sememangnya tumpuan untuk misi ‘survival’ sejak dari awal lagi terarah kepada Kelantan dan Negeri Sembilan, tidak ramai yang memperkatakan mengenai pasukan lain.

Kedua-dua pasukan itu mengalami kemelut prestasi dan krisis keyakinan justeru dilihat memerlukan keajaiban untuk mengelak tersingkir ke Liga Premier 2019.

Namun begitu, dengan 20 mata, Selangor bimbingan Nazliazmi Nasir hanya enam mata berada di zon selamat mengatasi Kelantan yang menduduki tangga kesebelas dengan mengumpul 14 mata.

Dengan empat perlawanan berbaki menuju penutup saingan, masih terdapat kemungkinan tipis Negeri Sembilan mahupun Kelantan dapat menjelmakan kebangkitan sensasi walaupun di atas kertas ia dilihat mustahil.

Justeru kedudukan Selangor, Kuala Lumpur dan PKNP FC kesemuanya masih dalam bahaya dan sekurang-kurangnya satu lagi kemenangan mungkin boleh membuatkan mereka dapat menarik nafas lega.

Skuad Red Giants bagaimanapun mungkin tidak terlalu tertekan untuk mencari satu kemenangan dalam baki perlawanan yang tinggal kerana mereka juga mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding pasukan lain.

Empat daripada lima aksi terakhir mereka selepas ini adalah berdepan pasukan yang turut berjuang untuk ‘survival’ dalam Liga Super iaitu Kuala Lumpur (15 Julai), Negeri Sembilan (18 Julai), Melaka United (21 Julai), PKNP FC (24 Julai) dan akhir sekali Terengganu (24 Julai). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -