Tiga jaringan dalam tempoh lima minit di separuh masa pertama membantu Pahang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Perak dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darulmakmur.
Skuad bimbingan Dollah Salleh itu juga merupakan satu-satunya pasukan tuan rumah yang menang dalam aksi separuh akhir pertama setelah tiga tuan rumah yang lain – Selangor, Felda United dan Melaka United kesemuanya kecundang pada Jumaat.
Pahang membuka jaringan pada minit ke-35 menerusi Wan Zaharulnizam Zakaria dan menggandakan kelebihan dua minit kemudian menerusi pemain pertahanan, Afif Amirudin.
Tonggak skuad B-23 negara, Mathew Davies kemudian menjadikan kedudukan 3-0 setelah menyudahkan hantaran Mahamadou Sumareh pada minit ke-40 untuk skuad tok gajah mendahului selesa sebelum menuju ke bilik persalinan.
Pahang tampil lebih berhati-hati dan mengendurkan asakan di separuh masa kedua bagi mempertahankan kelebihan tiga gol sekaligus ianya membuka ruang kepada Perak untuk mencipta lebih banyak peluang.
Hasilnya, pemain import, Gilmar Jose Da Silva berjaya mengecilkan jurang buat skuad bimbingan Mehmet Durakovic pada minit ke-68 namun mereka gagal mencari tambahan jaringan walaupun mendominasi perlawanan pada 20 minit terakhir.
Menuju aksi di Stadium Ipoh minggu depan, Perak yang kali terakhir layak ke separuh akhir 10 tahun lalu iaitu pada edisi 2007 perlu sekurang-kurangnya mencari kemenangan dua gol tanpa balas jika mahu meneruskan kemaraan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN