Oleh Muhammad Aiman
Bolasepak Malaysia tidak pernah lari dari cerita pelik dan kontroversi.
Terbaru, kemenangan 1-0 Kedah ke atas Pahang dalam aksi Liga Super pada 3 Ogos lalu dibatalkan sebaliknya Pahang diberi kemenangan percuma 3-0 dan meraih tiga mata berharga yang membolehkan mereka keluar dari zon relegasi dan kekal di Liga Super musim depan.
Keputusan itu gara-gara tindakan Lang Merah yang dilaporkan menurunkan pemain pertahanan kanan, Rizal Ghazali yang sepatutnya menjalani penggantungan perlawanan setelah menerima layangan tiga kad kuning.
Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan, “Selain dilucutkan hak bagi perlawanan tersebut, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) turut didenda RM5,000 dan diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesilapan sama.”
Yang menjadi persoalan, jika diikutkan peraturan perlawanan, kesilapan adalah di pihak KFA yang tidak peka pemain mereka sepatutnya menjalani penggantungan perlawanan, tetapi mungkin tidak ramai yang tahu, Pahang mengemukakan bantahan mengenai perkara tersebut pada 13 Oktober lalu, iaitu kira-kira 2 bulan 10 hari (70 hari) selepas tamatnya perlawanan di Alor Star itu.
Sedangkan tempoh membuat bantahan adalah dalam tempoh 48 jam selepas berakhir perlawanan. Bagaimana FAM boleh menerima bantahan yang dibuat selepas 70 hari? Dan bagaimana Pahang yang tidak peka akan isu ini sejak dua bulan yang lalu, boleh terdetik untuk menyemak mengenai perkara ini? Semuanya akan kekal sebagai persoalan yang tidak terjawab.
Lebih menarik, Jawatankuasa Tatatertib yang biasanya mengambil masa berbulan-bulan untuk meneliti laporan atau bantahan, bermesyuarat pada 19 September (6 hari selepas bantahan dikemuka) untuk membuat keputusan melucutkan tiga mata milik Kedah.
Ini bermakna Pahang yang bergelut di zon relegasi dan sebelum ini memerlukan kemenangan ke atas T-Team pada perlawanan terakhir Sabtu ini untuk terus kekal di Liga Super, melonjak ke kedudukan kelapan dan boleh menarik nafas lega tanpa memikirkan mengenai keputusan perlawanan manakala bagi Kedah, kehilangan tiga mata tidak menjejaskan kedudukan mereka di tempat ketiga dengan 34 mata.