PAHANG menumbangkan juara bertahan Selangor 2-1 untuk menjuarai saingan wanita Edisi Ke-5 Kejohanan TNB Piala Sultan Abdul Razak 2020 dalam saingan akhir yang sengit di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam ini.

Pakar sudut penalti Nuraini Abdul Rashid muncul sebagai tonggak utama yang menjulang kejayaan manis Pahang apabila menjaringkan kedua-dua gol menerusi gol sudut penalti pada minit ke-3 dan ke-52. 

Bagi Nuraini, kejayaan mengatasi Selangor kali ini amat manis kerana bukan sahaja dapat menebus kekalahan final 5-2 di tangan Selangor pada 2017 dan membantu membawa kembali piala kejuaraan ke Pahang, tetapi juga dijulang sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 10 gol. 

Kejayaan malam ini merupakan yang kejuaraan kedua buat Pahang selepas kali pertama memenanginya pada edisi sulung pada 2016. 

Kedua-dua Pahang dan Selangor turun dengan strategi kemas yang menyaksikan penguasaan samarata kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama. 

Begitu pun, Pahang terlebih dahulu melakukan kejutan menerusi jaringan awal Nuraini seawal minit ke-3, sekaligus menjejas rentak permainan Selangor buat seketika.  

Begitu pun, Selangor, selaku juara dua kali, bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan padang Fatin Syafikah Madh Sukri pada minit ke-20 untuk menjadikan permainan lebih intensif  dan seimbang.  

Dua suku terakhir perlawanan menyaksikan kedua-dua bermain dengan agak berhati-hati sambal menunggu peluang terbaik untuk bertindak mengambil kesempatan dari sebarang kesilapan dan kealpaan lawan. 

Peluang keemasan buat Pahang hadir dengan pemainan berbaki lapan minit apabila diberikan sudut penalti pada minit ke-52, yang nyata tidak disia-siakan oleh Nuraini untuk melengkapkan kemenangan 2-1 buat Pahang. 

Jurulatih Pahang Mohamad Sabri Mohamad gembira dengan kejayaan pasukan biarpun hanya mempunyai masa dua minggu untuk mengumpul semua pemain menjalani latihan pusat di Kuantan.

“Kami hanya dapat berkumpul dan bermain bersama untuk dua minggu sahaja disebabkan komitmen pemain senior dan junior. Kemenangan yang sukar, tetapi nyata sekali pemain bermain sebagai satu pasukan selain strategi yang dirancang disempurnakan  dengan baik oleh semua pemain,” kata Mohamad Sabri.

Nuraini, 31, pula nyata gembira berjaya menebus kekalahan pada final 2017 dan menyifatkan kemenangan ke atas Pahang sebagai sesuatu yang amat manis.

“Kami bermain menurut strategi yang telah dirancang oleh jurulatih terutama dalam sudut penalti,”kata Nuraini yang kini bersedia menyertai latihan bersama skuad kebangsaan. 

SENARAI PENGHARGAAN TNB PIALA TUN ABDUL RAZAK 2020

(WANITA) EDISI KE-5

JUARA: Pahang

NAIB JUARA: Selangor

KETIGA: Kuala Lumpur

FAIRPLAY: Melaka

PENJARING TERBANYAK: Nuraini Abd Rashid (PAHANG) 10 gol

PEMAIN TERBAIK FINAL: Fitrinur Amira Ramlee (PAHANG)

- Advertisement -