Oleh Muhammad Aiman
Pahang menampilkan kredibiliti sebenar mereka selaku pencabar kejuaraan apabila membelasah T-Team 5-0 dalam aksi kedua Liga Super di Stadium Darulmakmur pada Jumaat seterusnya melonjak ke kedudukan teratas.
Kesemua jaringan buat skuad bimbingan Dollah Salleh dijaringkan pemain import mereka – Mohamadou Sumareh meletakkan Tok Gajah 1-0 di depan pada minit ke-18 dan tiada tambahan jaringan terhasil di babak pertama.
Bersambung babak kedua, barulah Pahang tampak lebih bernafsu dan berhasil menjaringkan empat lagi gol menerusi sentuhan Matheus Alves pada minit ke-55 dan 74, Heo Jae Woon pada minit ke-65 dan Bright Dike pada minit ke-85.
Pahang mengumpul empat mata selepas dua perlawanan, mengatasi empat lagi pasukan iaitu Johor Darul Takzim, Selangor, Kedah dan Perak yang turut mengumpul empat mata menerusi beza jaringan.
Di Stadium Larkin, JDT kembali ke landasan kemenangan apabila menewaskan barisan 10 pemain Felda United 3-1 menerusi jaringan Fadhli Shas pada minit ke-27, serta dua jaringan di separuh masa kedua oleh Gonzalo Cabrera dan Brian Fereirra.
Skuad Benjamin Mora sebelum itu ketinggalan 0-1 kepada Felda hasil jaringan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-23 dan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan seorang pemain setelah Hasnizaidi Jamian dibuang padang pada minit ke-60 untuk mendapatkan dua gol pantas dan mengesahkan kemenangan.
Kemenangan menyaksikan JDT naik ke tangga kedua manakala Felda United bimbingan Azmi Mohamed pula tercicir ke tangga ketujuh.
Sementara itu di Stadium Selayang pula, Melaka United mengutip satu mata setelah seri 1-1 menentang Selangor dalam aksi Liga Super pertama mereka selepas sembilan tahun.
Melaka terlebih dahulu berada di depan menerusi percubaan cantik bekas pemain PKNS, Khairul Azrin Khazali pada minit ke-70 yang gagal diselamatkan Norazlan Razali, namun hasrat membawa pulang tiga mata tidak kesampaian apabila pemain gantian, Victor Astafei menanduk masuk gol penyamaan sembilan minit sebelum tamat perlawanan.
Kedah pula dua kali bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Sarawak di Darul Aman – Bujang Senang mendahului pada minit ke-9 menerusi sentuhan Mark Hartmann namun Baddrol Bakhtiar menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-21.
Sarawak kembali mendahului hanya lima minit kemudian hasil jaringan Nur Syamie Iszuan tetapi kedudukan kembali terikat 2-2 setelah Sandro meledak jaringan penyamaan pada minit ke-70 dan kemenangan menjadi milik pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe apabila Syazwan Zainon menjaringkan gol ketiga pada minit ke-72.
Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang mengalami kekalahan kedua setelah kecundang kepada Perak 0-1, menerusi jaringan tunggal Shahrul Saad pada minit ke-78.