Oleh Muhammad Aiman
Pahang melonjak ke tangga teratas Liga Super sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam setelah mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas PKNS FC di Stadium Darulmakmur.
Kemenangan ketiga berturut-turut itu membolehkan skuad Dollah Salleh mengumpul 16 mata, dua mata mengatasi Kedah yang hanya akan beraksi malam ini menentang Selangor di Stadium Selayang.
“Saya perlu berikan kredit kepada pemain, mereka tunjukkan disiplin yang cukup baik. Walaupun kita mungkin sedikit perlahan di separuh masa pertama, tetapi kita tampil dominan di babak kedua, dan selepas mendapat gol kedua, keyakinan mereka semakin memuncak.
“Ia bukan satu perlawanan yang mudah, kerana pemain juga masih keletihan gara-gara jadual padat. Namun mereka tidak hilang fokus, terima kasih juga kepada penjaga gol Wan Azraie (Wan Teh) kerana turut cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan.
“Saya cukup berpuas hati kerana kita tidak bolos dan dapat memanfaatkan setiap aksi di gelanggang sendiri setakat ini,” ujar Dollah.
Kemenangan ke atas skuad kendalian E.Elavarasan itu adalah yang ketiga dari tiga perlawanan di Darul Makmur buat Pahang, sebelum ini mereka menundukkan T-Team 5-0 dan Pulau Pinang 6-1.
Dalam aksi tersebut, Afif Amirudin menjaringkan gol pembukaan buat Pahang pada minit ke-12 setelah menerima hantaran daripada Joseph Kallang Tie.
Gol kedua hadir pada separuh masa kedua menerusi sepakan penalti disempurnakan Matheus Alves pada minit ke-57 dan bekas pemain kebangsaan, Ashaari Samsudin melengkapkan kemenangan 3-0 buat tok gajah pada minit ke-69.
Bagi PKNS, ia adalah kekalahan kedua berturut-turut setelah turut tewas kepada Sarawak Sabtu lalu dan yang keempat buat mereka musim ini.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi berlangsung di Kuching, hasrat Sarawak untuk melakar kejutan ke atas juara bertahan, Johor Darul Takzim tidak kesampaian setelah terpaksa akur dengan kekalahan 0-2.
Dua gol buat skuad kendalian Benjamin Mora dijaringkan oleh Gonzalo Cabrera pada minit kelapan dan 70. Tiga mata yang diraih menyaksikan Harimau Selatan melonjak ke tangga ketiga dengan 11 mata manakala Sarawak kekal menghuni tangga kesembilan.
Empat aksi lain yang berlangsung malam ini adalah antara Kedah dan Selangor, Perak dan Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang serta T-Team menentang Felda United.