Oleh Muhammad Aiman
Pahang dilihat sudah bersedia untuk bangkit mengetepikan rentetan prestasi hambar dalam beberapa perlawanan lalu apabila mereka bertandang ke Paroi untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan, pada Sabtu.
Skuad bimbingan Dollah Salleh itu dianggap pilihan untuk meneruskan kemaraan ke final berikutan kelebihan satu gol yang dimiliki hasil kemenangan di Kuantan dua minggu lalu, namun mengambil kira prestasi semasa Pahang ketika ini ia nyata bukan bekalan selamat buat tok gajah.
Pahang hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir di mana satu-satunya kemenangan mereka itu adalah ke atas skuad hoben jang hoben di separuh akhir pertama 30 April lalu.
Terbaru minggu lalu, mereka kecundang 2-3 kepada Kelantan – kekalahan pertama di Darulmakmur selepas 10 perlawanan – namun Dollah memberitahu pemainnya sudah melupakan kekalahan itu dan bersedia mengecewakan Negeri Sembilan di hadapan penyokong mereka.
“Kita memang kehilangan sedikit momentum, setelah seri dengan Selangor semuanya serba tidak kena dan pemain hilang fokus tetapi ia bukan masalah besar. Ada bagusnya juga kekalahan kepada Kelantan kerana ia mengejutkan pemain dari lamunan, mereka bangkit dari lena.
“Saya percaya mereka kini lebih peka dan fokus, tahu apa perlu dibuat di situasi getir ini. Walaupun ia bukan mudah bermain di gelanggang lawan tapi saya yakin mereka boleh laksanakan tanggungjawab dengan baik. Kita tidak sesekali memandang mudah cabaran Negeri Sembilan, mereka sebuah pasukan berbahaya jadi kita akan buat persediaan rapi,” ujar Dollah.
Dollah dijangka dapat menurunkan kesebelasan terbaik tatkala dia turut mengalu-alukan kehadiran semula penyerang, Mahamadou Sumareh yang sebelum ini tersisih kerana penggantungan perlawanan namun bekas pengendali kebangsaan itu berkata masih tidak pasti akan situasi penyerang utama Matheus Alves yang mengalami kecederaan ketika sesi latihan.
“Situasi Alves ketika ini adalah 50-50, kita akan pantau keadaannya kerana dia adalah pemain tonggak dan khidmatnya sangat diperlukan. Kita tidak boleh kehilangannya di saat begini namun kehadiran semula Sumareh juga merupakan tonik buat pasukan.
“Setakat ini, selain Alves, semua pemain lain dalam keadaan fizikal dan mental terbaik. Masing-masing bekerja keras ketika latihan untuk merebut tempat dan mahu berada dalam skuad yang bertandang ke Paroi jadi ianya sangat sukar untuk saya menamakan skuad 18 pemain. Situasi ini agak memeningkan saya untuk buat pilihan terbaik,” tambah Dollah lagi.
Untuk rekod kali terakhir Pahang mara ke final adalah pada 2014 di mana ketika itu mereka muncul juara dengan menewaskan Felda United 2-1.