Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tidak akan merayu terhadap hukuman larangan memohon Lesen Kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selama dua tahun yang dikenakan ke atas mereka oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Rabu.

Jawatankuasa Tatatertib FAM dipengerusikan Datuk Baljit Singh Sidhu membuat keputusan Pahang tidak boleh memohon Lesen AFC bagi tahun 2018 dan 2019, sekaligus bermakna mereka tidak dibenarkan menyertai pertandingan kelab AFC tahun 2019 dan 2020.

Hukuman itu susulan dari keengganan skuad tok gajah itu yang muncul naib juara Liga Super dan memiliki Lesen AFC menerima tawaran beraksi di Piala AFC 2018 sebagai menggantikan juara Piala FA, Kedah yang gagal mendapatkan lesen tersebut tahun ini.

“Walaupun sudah diarahkan oleh FAM menerusi surat bertarikh 24 November 2017 untuk membuat pendaftaran menyertai Pertandingan Kelab AFC, Pahang tidak berbuat demikian sehingga tarikh akhir 30 November 2017 sekaligus melanggar Artikel 14 Statut FAM.

“PBNP mempunyai obligasi untuk mematuhi sepenuhnya statut, peraturan, arahan dan keputusan FIFA, AFC dan FAM pada setiap masa. Pelanggaran obligasi menyebabkan tindakan boleh diambil, jadi selain larangan tersebut PBNP juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama,” menurut FAM dalam satu kenyataan.

Pahang bagaimanapun dibenarkan membuat rayuan terhadap hukuman tersebut namun dalam satu kenyataan yang dikeluarkan PBNP, menyatakan, “PBNP ‘terpaksa’ menerima hukuman yang dijatuhkan Jawatankuasa Tatatertib, bagaimanapun kami tidak akan sama sekali mengemukakan rayuan kerana berpegang kepada keyakinan bahawa PBNP tidak melakukan sebarang kesalahan.”

Pahang sebelum ini membuat keputusan menolak pelawaan beraksi di Piala AFC kerana mahu memberi fokus kepada saingan domestik, dan tindakan mereka itu dilaporkan boleh membawa kesan buruk kepada jumlah slot yang akan diberikan kepada Malaysia dalam Liga Juara-Juara Asia ataupun Piala AFC di masa akan datang.

Keputusan dibuat oleh Pahang itu menyaksikan juara Liga Super, Johor Darul Takzim menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang akan beraksi di pentas berprestij berkenaan pada tahun depan.OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -