Pahang kembali merampas kedudukan kedua Liga Super dari Terengganu FC tetapi mereka terlepas peluang untuk mengecilkan defisit mata dengan pendahulu Johor Darul Takzim apabila sekadar seri 2-2 menentang Kuala Lumpur.
Aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menyaksikan tuan rumah dua kali mendahului menerusi Guilherme de Paula pada minit ke-10 dan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-40.
Namun skuad Dollah Salleh memastikan nasib menimpa JDT dan Kedah di Cheras sebelum ini tidak berulang kepada mereka apabila menyelamatkan satu mata menerusi jaringan Mohamadou Sumareh pada minit ke-13 dan R.Kogileswaran pada minit ke-60.
Skuad tok gajah mengumpul 11 mata, sama mata dengan TFC namun berkelebihan perbezaan jaringan ke atas pasukan bimbingan Irfan Bakti itu dan ketinggalan empat mata di belakang JDT yang mengumpul 15 mata.
Aksi di Stadium Negeri Batu Kawan pula menyaksikan Perak menewaskan PKNP FC 2-1 dan melonjak ke tangga keempat liga dengan mengumpul 10 mata.
Sang seladang beroleh jaringan menerusi Wander Luiz dan Nasir Basharudin di separuh masapertama. Meskipun PKNP cuba menterjemahkan kebangkitan lewat menerusi jaringan Shahrel Fikri Fauzi ia tidak memadai untuk menyekat skuad Mehmet Durakovic dari melakar kemenangan ketiga musim ini.
Sementara itu, di Stadium Shah Alam sejarah baru Liga Malaysia tercipta apabila aksi tunggal Liga Premier yang sepatutnya berlangsung di antara PDRM dan Kuantan FA terpaksa dibatalkan kerana pasukan Kuantan FA gagal menghadirkan diri di venue pertandingan sehingga waktu sepak mula (9 malam).
Ini menyaksikan PDRM diberikan kemenangan percuma 3-0. Pengendali Kuantan FA, Ismail Zakaria menjelaskan masalah tunggakan gaji yang berlarutan sejak 4 bulan lalu adalah punca pemainnya enggan beraksi pada perlawanan itu.
Menurutnya itu langkah terbaik boleh diambil setelah pihak pengurusan langsung tidak berusaha menyelesaikan masalah berkenaan justeru menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk memberi penjelasan kepada Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).
FMLLP kemudiannya dalam satu kenyataan menegaskan tindakan tegas akan diambil dengan membatalkan penyertaan pasukan itu dalam saingan Liga Premier dan memastikan individu-individu yang bertanggungjawab merosakkan imej bolasepak negara ini tidak lagi terlibat di dalam bolasepak. – OLEH MUHAMMAD AIMAN