Setelah kecundang di pentas final Piala FA dan gagal dalam misi memburu trofi Liga Super pertama sejak 2004, tinggal hanya trofi Piala Malaysia untuk direbut Pahang sebagai pengubat kecewa mereka musim ini.
Namun juara Piala Malaysia 2013 dan 2014 itu perlu terlebih dahulu mengesahkan tempat di suku akhir tatkala mereka sedang bersaing sengit dengan T-Team dan Negeri Sembilan untuk mengisi satu slot yang berbaki dari Kumpulan A.
Skuad yang dibimbing Ahmad Shaharudin Rosdi ekoran penggantungan Dollah Salleh itu ketika ini di tangga kedua Kumpulan A dengan enam mata dan wajib menang ke atas T-Team yang hanya ketinggalan satu mata di belakang dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Darulmakmur malam ini.
Kegagalan mengutip tiga mata bakal menyaksikan skuad tok gajah mengulangi kecewa musim lalu apabila gagal melangkah melepasi halangan peringkat kumpulan.
Ayam tambatan pasukan itu, Mohamadou Sumareh berkata, âIni peluang terakhir kami untuk menghidupkan peluang memenangi satu trofi yang tinggal, sudah tentu kami tidak mahu berputih mata. Tempoh rehat sebulan membolehkan kami berada dalam fizikal, mental dan tahap kecergasan terbaik.
âSemua pemain begitu bersemangat, kami harap peminat akan membanjiri stadium memberi sokongan dan kami akan turun dengan komitmen terbaik untuk tidak mengecewakan mereka. Kami akan lakukan sebaik mungkin untuk memastikan tiket suku akhir menjadi milik Pahang,â ujarnya.
Untuk rekod, Pahang memulakan kempen Piala Malaysia musim ini tiga keputusan seri berturut-turut termasuklah menentang T-Team di Kuala Terengganu pada 18 Julai lalu. Mereka kemudiannya tewas pada perlawanan keempat menentang Negeri Sembilan sebelum mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan PKNP dalam aksi kelima. – OLEH MUHAMMAD AIMAN