Oleh Muhammad Aiman
Malaysia gagal meneruskan langkahan ke perlawanan akhir Trofi Juara-Juara Asia QNET 2016 setelah kecundang 2-3 kepada juara bertahan Pakistan menerusi penentuan pukulan penalti dalam aksi separuh akhir berlangsung di Stadium Hoki Kuantan.
Aksi masa sebenar 60 minit berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 setelah jaringan padang Abdul Khan pada minit ke-34 memadam kelebihan Malaysia yang sebelum itu mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan pukulan sudut penalti Shahri Saabah.
Meskipun bermula dengan baik dengan Firhan Ashaari dan Faizal Shaari menyempurnakan pukulan masing-masing untuk mendahului 2-1, kegagalan tiga pemain berikutnya Faiz Helmi, Shahril dan Fitri Saari menyaksikan Speedy Tigers berputih mata.
Tiga gol buat Pakistan dijaringkan oleh Abdul Khan, Ifran Jr dan Arslan Qadir sekaligus membawa mereka ke pentas final keempat berturut-turut dan selangkah lagi untuk muncul juara buat kali ketiga setelah melakukannya pada 2012 dan 2013.
Lawan yang menanti Pakistan di final adalah juara 2011 yang juga juara Asia, India yang melangkah setelah menundukkan Korea Selatan 5-4, juga menerusi penentuan pukulan penalti setelah perlawanan masa sebenar berkesudahan seri 2-2. Â
India membuka jaringan pada minit ke-15 menerusi Talwinder Singh namun Korea Selatan bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-21 menerusi Seo Inwoo sebelum merebut pendahuluan pada minit ke-53 menerusi sentuhan Yang Jihun.
Hasrat Korea melakar kejutan bagaimanapun tidak kesampaian apabila Ramandeep Singh menyamakan kedudukan 2-2 buat India dua minit kemudian, sekaligus menyelamatkan gergasi Asia itu dari dipalit aib. Â
Dalam satu lagi aksi, China mengetepikan kebangkitan lewat yang cuba diterjemahkan Jepn untuk mencatat kemenangan 4-3 seterusnya menamatkan saingan di tempat kelima. Â
Lei Meng menjaringkan dua gol manakala Xin Yu dan Jianwei Zhong masing-masing menjaringkan satu gol buat China manakala negara matahari terbit itu membalas menerusi Hiromasa Ochiai dan dua jaringan Kenta Tanaka.
Malaysia akan berdepan Korea Selatan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada Ahad, disusuli perlawanan akhir antara India dan Pakistan.