Oleh Muhammad Aiman
Pasukan hoki remaja negara tunduk 1-4 kepada Pakistan dalam aksi ketiga Kejohanan Jemputan Piala Sultan Johor B-21 yang berlangsung di Stadium Taman Daya, sebentar tadi.
Skuad bimbingan Wallace Tan itu turun dengan misi mencari kemenangan pertama setelah tewas 1-3 kepada England dalam aksi pembukaan dan kemudiannya seri 2-2 menentang Australia namun mendapati Pakistan terlalu kuat untuk disaingi.
Ia adalah kemenangan kedua buat Pakistan yang sebelum ini bermula garang menewaskan New Zealand 5-2 pada perlawanan pertama sekaligus membolehkan mereka melonjak ke tangga kedua dengan tujuh mata manakala Malaysia kekal di tangga kelima dengan hanya satu mata.
Pada perlawanan itu, Pakistan membuka jaringan pada minit ke-7 menerusi pukulan sudut penalti Abu Mahmud dan menggandakan jaringan pada minit ke-20 menerusi sentuhan Dilber Muhammad.
Skuad negara bagaimanapun merapatkan jurang lima minit kemudian menerusi Najmi Farizal Jazlan namun Pakistan tidak menunggu lama untuk kembali mendahului dengan dua gol pada minit ke-30 menerusi Irshad Shan untuk kedudukan 3-1 di separuh masa pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan pertahanan negara tampil dengan permainan lebih tersusun namun barisan depan dilihat kurang menyengat menyaksikan tambahan jaringan gagal dicari, sebaliknya memberi ruang kepada Sami Ullah melengkapkan kemenangan 4-1 buat Pakistan pada minit ke-46.
Aksi Malaysia yang seterusnya adalah menentang Jepun pada Jumaat, manakala Pakistan akan berdepan pendahulu Australia.
Dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, Australia membaham New Zealand 9-1 untuk melonjak ke kedudukan teratas manakala Jepun mengejutkan England 2-1 untuk melonjak ke tangga ketiga.