“Hari ini, saya telah memutuskan untuk berundur sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia kerana komitmen peribadi saya. Saya memohon maaf atas sebarang kekecewaan yang mungkin ditimbulkan kepada semua pihak.

“Sejak saya tiba pada Februari 2022, selama dua setengah tahun yang lalu, rakyat Malaysia benar-benar menghadiahkan saya satu perjalanan yang sangat luar biasa dan indah dalam hidup saya.

“Pada Jun 2022, kita bersama-sama berkongsi kegembiraan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas tempoh 43 tahun dan sejak itu, kita telah meningkat ke tangga ke-130 dalam ranking FIFA dan pada aksi terakhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lalu, kita berjaya seri 3-3 dengan pasukan ranking ke-22 dunia, Republik Korea, sekali gus menunjukkan satu kebanggaan yang rakyat Malaysia harus ada dalam bola sepak mereka.

“Namun malangnya kita tidak layak ke pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2026. Tapi dengan tiga kemenangan, satu seri, dua kekalahan dan 10 mata, kita telah menyediakan satu asas dan momentum bagi menyemai harapan untuk masa depan bola sepak Malaysia yang cerah,” kata Pan Gon.

Pan Gon turut berterima kasih kepada Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin; Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh serta pihak kerajaan dan juga kepada kelab-kelab Liga Malaysia serta penyokong terutama Ultras Malaya yang telah sama-sama memberikan sokongan di sepanjang beliau mengendalikan skuad Harimau Malaya.

“Dengan setulus hati, saya sangat berterima kasih kepada semua yang telah menyokong saya dan pasukan kebangsaan.

“Harapan saya, FAM, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus memberikan sokongan dan dorongan kepada pasukan negara bagi mencapai matlamat seterusnya iaitu layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut.

“Kini sebagai ‘separuh’ rakyat Malaysia, saya akan sentiasa menyokong pasukan bola sepak Malaysia dan berbangga dengan Malaysia ke mana sahaja saya pergi,” jelas Pan Gon. – www.fam.org.my

- Advertisement -