Oleh Muhammad Aiman
Penerjun olimpik negara, Pandalela Renong sekadar berpuas hati menduduki tempat keempat di pusingan ketiga Siri Kejohanan Terjun Dunia FINA 2016 yang berlangsung di Pusat Akuatik dan Latihan Antarabangsa, Windsor, Kanada lewat malam Sabtu.
Pandalela, atlet berusia 23 tahun yang baru sahaja dinobatkan sebagai atlet terbaik Anugerah SAM-100 Plus pada Rabu lalu terlepas kedudukan podium bagi acara 10m platform individu apabila sekadar mengumpul 355.80 mata, ketinggalan 16.9 mata di belakang penerjun tuan rumah Meaghan Benfeito yang meraih gangsa.
Pingat emas bagi acara itu dimenangi penerjun dari China Ren Qian (445.25 mata) manakala seorang lagi penerjun Kanada, Roseline Fillion (378.85 mata) meraih pingat perak.
Bagi kedudukan keseluruhan, Pandalela yang cemerlang meraih pingat gangsa 10m platform seirama bersama gandingannya Leong Mun Yee di pusingan pembukaan Siri Terjun Dunia di Beijing pada Mac lalu, berada di kedudukan keenam dengan 28 mata, ketinggalan 10 mata di belakang Melissa Wu dari Australia selepas tiga pusingan.
Dalam pada itu, seorang lagi penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee yang juga telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik akan turun beraksi dalam acara 3m papan anjal individu lewat hari ini.
Pusingan akhir Kejohanan Siri Terjun Dunia dijadual akan berlangsung di Kazan, Russia pada 22-24 April depan.