Oleh Ku Mohd Lufti
Malaysia meraih pingat perak pertama di sukan olimpik Rio 2016 menerusi acara terjun 10 Meter Platform Seirama Wanita.
Gandingan Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang konsisten sepanjang lima terjunan untuk pungutan mata keseluruhan 344.34 mata.
Gandingan Pandelela dan Jun Hoong berjaya meraih mata 52.80, 52.80, 76.50, 79.68 dan 82.56 untuk mengesahkan status sebagai pemenang pingat perak.
Catatan mata ini bagaimanapun gagal menandingi China sebagai kuasa besar dalam sukan terjun apabila gandingan Chen Ruolin dan Liu Huixia mengumpul 55.80, 55.80, 79.20, 75.84, dan 87.36 mata untuk catatan keseluruhan 354 mata sekaligus dinobat sebagai pemenang pingat emas.
Pingat gangsa milik Kanada Meaghan Benfeito dan Roseline FilionĀ yang mengumpul 336.18 mata selepas lima terjunan.
Kejayaan meraih pingat perak memberikan satu sejarah baru buat Malaysia apabila Pandelela dan Jun Hoong muncul atlet berpasukan wanita pertama meraih pingat dipentas Olimpik.
Manakala China mengekalkan pungutan emas kelima berturut turut dalam acara ini di pentas Sukan Olimpik.