Hasrat peminat sukan tanah air untuk menyaksikan kelibat pemenang emas Sukan Paralimpik Rio De Janeiro 2016, Mohamad Ridzuan Puzi di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 ynang sedang berlangsung tidak kesampaian setelah pelari itu disahkan tidak akan bertanding dalam mana-mana acara.
Pelari itu disyaki mengalami demam denggi sejak seminggu lalu justeru pengurus pasukan olahraga para, Narrawi Abdullah berkata keputusan untuk menggugurkannya terpaksa dibuat selepas mendapatkan nasihat Hospital Putrajaya dan Institut Sukan Negara (ISN).
Pemenang dua pingat emas di Para ASEAN Singapura 2015 itu sepatutnya memulakan misi memenangi tiga emas pada edisi kali ini dengan turun beraksi dalam acara 100m T36 (celebral palsy) pada Rabu, diikuti 400m pada Khamis dan 200m pada Jumaat.
Ketiadaan Ridzuan sekaligus memberi ruang kepada Agung Laksana dari Indonesia untuk mengungguli acara 100m dan 400m T36 – kedua-duanya dengan mengetepikan seorang lagi atlet negara, Raduan Emeari yang terpaksa berpuas hati dengan perak.