Indonesia terus mendominasi mereka dalam acara olahraga di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dengan menambah 11 lagi pingat emas dari 29 yang dipertandingkan pada Rabu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Mereka turut meraih tambahan 10 perak dan dua gangsa sekaligus membawa kepada jumlah keseluruhan 31 emas, 20 perak dan 12 gangsa sepanjang tiga hari sukan itu dipertandingkan.
Pencapaian itu juga sudahpun berjaya mengatasi pencapaian memenangi 27 emas di Para ASEAN Singapura dua tahun lalu.
Antara atlet yang menyumbang emas buat Indonesia adalah Nanda Mei Sholihah yang memenangi pingat emas kedua peribadinya dengan mengungguli acara 100m T46/47 (kecacatan tangan) dengan catatan masa 13.50s. Perak menjadi milik Gagun Pagjiraporn dari Thailand manakala gangsa dimenangi atlet Malaysia, Nurul Fazirai.
Turut memenangi emas kedua peribadi adalah Setiyo Budihartanto menerusi acara lompat kijang lelaki T46 dengan lompatan sejauh 13.62s mengatasi Eryanto Bahtiar dari Malaysia yang memenangi perak dan manakala gangsa dimenangi Chanaboon Angkarn dari Thailand.
Putri Aulia pula mencuri tumpuan dengan memenangi emas ketiganya, kali ini menerusi acara 200m T13 (masalah penglihatan) dengan catatan masa 26.55s. Dan buat kali ketiga berturut-turut pelari itu melakukannya dengan menewaskan penyandang emas, Felicia Mikat dari Malaysia yang terpaksa berpuas hati dengan gangsa. Pingat perak menjadi milik rakan senegaranya, Ni Made Arianti.
Sementara itu, Malaysia menambah lapan emas, tujuh perak dan sembilan gangsa manakala Thailand terus mengharungi prestasi hambar di lapangan olahraga apabila sekadar menambah empat emas, lima perak dan tujuh gangsa.
Antara penyumbang emas mereka adalah Pongsakorn Paeyo yang mengungguli acara 100m T52/53 dengan catatan masa 14.82s menewaskan dua rakan senegara Pichet Krungget dan Sopa Intasen, masing-masing meraih perak dan gangsa.
Apisit Taprom pula cemerlang dalam acara 1,500m T37 (celebral palsy) setelah melintasi garisan penamat dengan catatan masa 5:00.17s. Pingat perak acara itu dimenangi Timin dari Indonesia manakala Johan Abdul Rahman memenangi gangsa.
Hari keempat acara olahraga pada Khamis (21 September) bakal menyaksikan 27 pingat emas menjadi rebutan.