INDONESIA berjaya mengekalkan pingat emas acara ping pong Kelas 10 lelaki dengan menewaskan Malaysia 3-0 untuk menduduki tempat teratas liga sepusingan Sukan Para ASEAN di MITEC pada Rabu (20 Sept).
Dikemudi Komet Akbar dan Dian David Mickael Jacobs, pasangan Indonesia itu terbukti terlalu kuat bagi pasangan beregu negara, Mohamed Azwar Bakar dan Ahmad Syahir Mohd Kamal Saupi.
Komet memberi mata pertama kepada Indonesia apabila menang 11-1, 11-2 dan 11-5 menentang Ahmad Syahir Mohd Kamal Saupi dan selepas itu, Dian David pula mencatat kemenangan 11-2, 12-10 dan 11-7 menewaskan Mohamed Azwar.
Kedua-dua pemain Indonesia itu kemudian bergandingan bagi acara beregu dan mengetepikan cabaran beregu Malaysia, Mohamed Azwar-Ahmad Syahir 11-3, 11-5 dan 11-5 untuk memastikan emas buat Indonesia.
Indonesia memenangi tiga emas acara ping pong selepas kejayaan pasukan lelaki Kelas 8 dan Wanita Kelas 6-8 yang terbukti begitu dominan dalam perlawanan-perlawanan sepusingan.
APA KATA MEREKA:
“Kami kecewa dengan kekalahan ini dan memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Kami telah mencuba sebaik mungkin untuk menandingi pemain Indonesia tetapi mereka bermain lebih baik.” – Mohamed Azwar Bakar (Pemain Malaysia)