Mahu atau tidak, kepahitan perlu ditelan apabila ‘harapan terakhir’ kontinjen Malaysia untuk melihat pertambahan pingat dari kem berbasikal trek berakhir dengan tragedi hitam.
Sandaran yang diletakkan kepada Datuk Azizul Hasni Awang dan Muhd Shah Firdaus Sahrom tidak seperti yang diharapkan apabila kedua duanya tersingkir pada pusingan pertama susulan melanggar peraturan.
Datuk Azizul Hasni atau Jijoe paling terkesan apabila tersingkir (disqualified) kerana melanggar peraturan teknikal, memotong dermy atau ‘motor pacer’ ketika di saringan pertama.
Ia menyaksikan tiada lagi kelibat Jijoe bersama sama basikal yang menelan belanja RM7.5 juta sekaligus menutup kariernya dengan tragedi hitam.
Seorang lagi wakil negara, Mohd Shah Firdaus Sahrom turut disingkirkan (relegated) kerana menggunakan ‘blue band’ ketika beraksi di peringkat saringan kelima.
Pegawai trek Malaysia diketuai John Beasly membuat bantahan selepas tamat pusingan awal acara Keirin dan hanya mampu ‘menyelamatkan’ Muhd Shah Firdaus Sahrom yang dibenarkan untuk beraksi di pusingan repecharge awal pagi Ahad waktu Malaysia sementara keputusan Komisar terhadap Datuk Azizul Hasni dikekalkan.
Perit atau duka, 1001 persoalan akan mula menjadi pertanyaan termasuk peruntukkan yang telah diguna untuk mempersiapkan pasukan trek bagi menghadapi Olimpik Paris 2024