Pasukan-pasukan Reserve Team Liga Malaysia menafikan kehadiran mereka dalam saingan Liga Premier hanya sebagai pelengkap tanpa memberi cabaran kepada pasukan lain.
Menurut Badrul Afzan Razali yang bakal membimbing Terengganu FC II musim 2021, persepsi sesetengah pihak bahawa aksi Liga Premier menjadi kurang kompetitif dengan kewujudan lima pasukan Reserve Team adalah tidak tepat.
Jelasnya, walaupun pasukan-pasukan ini tidak layak untuk merebut dua slot ke Liga Super, tetapi itu tidak bermakna mereka mengambil sikap sambil lewa.
Badrul yang merupakan jurulatih pasukan Piala Presiden Terengganu musim ini percaya saingan Liga Premier 2021 masih lagi relevan dengan pertembungan sengit 11 pasukan dan beliau akan memastikan pasukannya mampu memberi cabaran hebat kepada enam pasukan utama lain yang ingin merebut slot ke Liga Super 2022.
“Majoriti pemain-pemain Reserve Team ini adalah 25 tahun ke bawah dan daripada situ kita boleh menilai mereka untuk mungkin satu masa nanti layak beraksi ke dalam skuad utama pula.
“Musim ini TFC II bergelar naib johan, walaupun tidak layak ke Liga Super, tetapi saya percaya pemain-pemain tetap berpuas hati selepas mereka berhempas pulas sepanjang saingan.
“Mungkin musim depan, kita dapat menjadi juara pula, atau sekurang-kurangnya kekal dalam kelompok tiga terbaik, sebab pasukan bermain untuk menang, tidak kira kita Reserve Team atau tidak dan yang penting adalah kita perlu buktikan Liga Premier ini masih lagi sengit walaupun dihadiri oleh pasukan Reserve Team,” jelasnya.
Sementara itu, pengendali Perak II musim 2020, Abu Bakar Fadzim turut meluahkan perkara sama apabila menganggap anak buahnya sentiasa mempamerkan semangat juang yang tinggi dalam setiap perlawanan.
Jelasnya, tiada istilah Liga Premier yang membosankan kerana pasukan-pasukan yang bertanding tidak kira Reserve Team atau tidak tetap memberikan persaingan yang kompetitif kerana pemain-pemain muda ini sedar dengan misi mereka untuk merebut peluang beraksi bersama pasukan utama sekiranya menampilkan prestasi memberangsangkan.
“Kita sedar keazaman pasukan selain Reserve Team yang ingin merebut slot ke Liga Super, tetapi untuk kami seperti di Perak II sebelum ini, pemain-pemain tahu mereka punya misi tersendiri untuk menonjolkan potensi agar diberi kepercayaan beraksi bersama skuad utama di Liga Super.
“Sesetengah pihak memang nampak pasukan Reserve Team yang banyak dalam Liga Premier akan menjadikan saingan hambar, tetapi saya ingin tegaskan, pemain-pemain ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga, tetapi mereka tetap berusaha untuk memberikan pertembungan sengit kepada lawan,” jelasnya.
Bekas penolong jurulatih UKM FC dan Felda United, Juzaili Samion pula menyifatkan pasukan selain Reserve Team sebenarnya tidak pernah ambil mudah tentangan yang diberikan oleh mereka sepanjang liga berlangsung.
Beliau yang pernah bersama UKM FC musim lalu menganggap pasukan Reserve Team mempunyai kekuatan tersendiri dan ini membuktikan mereka tetap digeruni lawan lain di atas padang.
“Mungkin dari segi pandangan orang ramai, Liga Premier ini lebih tertumpu kepada pasukan tertentu sahaja untuk rebut slot ke Liga Super.
“Tetapi saya nak kongsi pengalaman, sepanjang saya bersama UKM FC, tidak pernah saya tengok mereka memberi jalan mudah kepada lawan dan walaupun berstatus Reserve Team, mereka tetap memberikan aksi yang memberangsangkan di atas padang”, katanya.
Musim 2021 menyaksikan 11 pasukan akan berentap di saingan Liga Premier dengan pasukan terbaharu skuad Projek FAM-MSN turut sama mewarnai kancah Liga Malaysia pada tahun hadapan.