eric-williams

Oleh Muhammad Aiman

Bekas pengendali Myanmar B-16 dan Yangon United, Eric Williams dilantik sebagai pengendali baru Melaka United, mengambil alih kekosongan ditinggalkan Mat Zan Mat Aris.

Membimbing Melaka mencatat keputusan memberangsangkan dalam musim pertama di Liga Super bakal menjadi tugasan paling getir bagi Williams yang memulakan karier kejurulatihannya di Indonesia bersama Perseman Manokwari sebelum mengharungi musim cemerlang bersama Yangon United.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Mohd Yusof Mahadi berkata jurulatih berasal dari England itu ditawarkan kontrak selama satu musim, dengan pilihan untuk melanjutkannya selama semusim lagi bergantung kepada prestasi pasukan.  

“Ianya bukan mudah mencari seorang jurulatih yang boleh meneruskan kejayaan dicapai Mat Zan yang membawa kita menjulang piala buat dua musim berturut-turut.

“Kita harapkan Eric akan membawa impak besar buat Melaka di Liga Super musim depan walaupun kita masih belum menentukan apakah sasaran realistik mengambil kira wibawa Eric dan juga skuad yang kita ada,” katanya.  

MUSA baru-baru ini membuat kejutan besar apabila tidak mengekalkan khidmat Mat Zan di sebalik kecemerlangan bekas jurulatih Terengganu itu membawa mereka keluar dari Liga FAM pada 2015 dan kemudiannya membawa Melaka layak ke Liga Super setelah sembilan tahun dengan menjuarai 100 Plus Liga Premier 2016.

Mereka juga menggugurkan lebih separuh daripada anggota skuad atas alasan mereka tidak cukup bagus untuk beraksi di Liga Super dan mahu membina sebuah skuad yang lebih kompeten.  

Dalam pada itu, kem Melaka dikhabarkan sedang dilanda ‘ribut’ setelah hampir kesemua pemain yang mahu dikekalkan bagi musim depan belum menandatangani kontrak kerana berpendapat pengurusan tidak profesional selain tertipu dengan janji palsu pengurusan.

Menurut sumber Sports247, “Banyak yang tidak kena dengan pengurusan Melaka musim ini, adakalanya jurulatih tiada kuasa buat keputusan. Semuanya ditentukan pengurusan. Sebagai satu contoh, ketika perlawanan terakhir liga tempoh hari, pemain import (Labinot Harbuzi) mengalami kecederaan dan tidak boleh beraksi.

“Mat Zan memang tidak mahu turunkan dia, tetapi bayangkan pengurus pasukan suruh dia ambil ubat penahan sakit (suntikan) dan paksa dia bermain dengan menanggung kesakitan.  

“Kemudiannya baru-baru ni, pasukan dibawa pergi ke London sebagai ganjaran kemenangan muncul juara liga. Setiap pemain diberikan RM4,000 sebagai wang poket, mereka kata Presiden (Dato’ Seri Idris Haron) akan umumkan bonus di sana. Apabila berada di sana, beliau tidak langsung bercakap mengenai bonus, senyap. Bila bertanya, pengurusan kata RM4,000 yang diberi sebagai wang poket itulah bonus kami.”

“Setakat yang saya tahu, dari lebih kurang 10 pemain yang mereka kekalkan, tiga atau empat pemain sudah buat keputusan cari pasukan lain dan sedang berunding. Ada pemain yang ambil surat tawaran tetapi masih berbelah bahagi mahu setuju atau tidak. Kalau sebelum ini mereka boleh tipu, apa jaminan mereka akan jujur selepas ini,” katanya.

Untuk rekod, Melaka menjuarai 100 Plus Liga Premier musim ini dengan mengumpul 50 mata, dua mata mengatasi PKNS Selangor yang muncul naib juara dan mengiringi mereka ke Liga Super manakala penyerang Ilija Spasojevic muncul  penjaring terbanyak liga dengan 24 gol.

- Advertisement -