Seramai 12 pemain Pasukan Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan kini bersiap sedia untuk membawa cabaran Malaysia ke Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Taldykorgan, Kazakhstan yang akan membuka tirai secara rasmi pada 21 hingga 25 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan KHM, En. Shurizan Mansor, hari ini secara rasminya menyenaraikan 12 pemain Pasukan Hoki Dalam Dewan Lelaki Negara dan kejohanan yang disertai ini akan turut mempertaruhkan tiket secara automatik ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan (Lelaki) kepada dua negara yang melangkah ke pentas final.

Selaku juara bertahan, pasukan kebangsaan dilihat mengekalkan sembilan pemain daripada skuad 2022 yang membawa Malaysia muncul juara. Muhammad Aminuddin Mohd Zain (pertahanan), Shazril Irwan Nazli (pertahanan) dan Abdul Khaliq Hamirin (penyerang) merupakan tiga pemain yang tidak berada di dalam senarai skuad 2022 akan turut sama dalam misi kali ini.

Menerusi undian awal yang telah dijalankan oleh Persekutuan Hoki Asia (AHF), Malaysia telah diletakkan di dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Kazakhstan, Oman dan Indonesia sementara Kumpulan A menyaksikan persaingan antara Iran, Thailand, Singapura, dan Tajikistan.

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan KHM dan merangkap Pengurus Pasukan Hoki Dalam Dewan Negara, En. Shurizan Mansor, beliau mahukan barisan pemain turun dengan misi mempertahankan kejuaraan yang diraih pada edisi lalu walaupun format kejohanan musim ini dilihat berbeza daripada 2022.

“Persaingan kali ini lebih mencabar kerana format yang digunakan agak berlainan dengan johan dan naib johan kedua-dua kumpulan akan bermain satu lagi pusingan bagi menentukan pasukan yang akan layak ke final di mana dua pasukan ke final itu akan ke Piala Dunia 2025 secara automatik.

“Pasukan kali ini memiliki barisan pemain terbaik dan saya berharap komitmen yang tinggi akan diberikan pemain selain berjuang bermati-matian demi Malaysia.

“Walaupun kumpulan kami dihuni oleh tuan rumah, Kazakhstan dan pencabar terdekat, Indonesia, sasaran pertama pasukan adalah kami perlu melepasi pusingan pertama dengan muncul selaku dua pasukan terbaik. Kemudian, kami akan melihat sasaran yang kedua apabila memasuki pusingan seterusnya.

“Sekiranya Malaysia berjaya melangkah ke final ia akan menjadi sejarah untuk sukan ini khususnya di mana ia merupakan kali pertama Malaysia ke Piala Dunia dan pastinya akan membuka ruang untuk lebih banyak perhatian serta bantuan diberikan kepada pasukan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi, menjelaskan pemilihan pemain bagi skuad ke Piala Asia 2024 dilakukan oleh barisan kejurulatihan dengan menilai kebolehan teknikal serta taktikal individu selain kecergasan, semangat satu pasukan dan disiplin pemain itu sendiri menjadi aspek penting yang dinilai.

“Penilaian menyeluruh kami barisan kejurulatihan telah lakukan dan dengan adanya sembilan pemain daripada skuad 2022, diharap mereka dapat memperkuatkan lagi pasukan ditambah dengan kehadiran tiga lagi pemain baru.

“Barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan percaya 12 pemain yang dipilih ini mampu untuk menggalas tugas dengan sebaiknya. Pasukan telah melakukan persiapan rapi merangkumi persediaan kecergasan, teknikal, serta taktikal yang telah bermula pada bulan Ramadan lagi.

“Beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan Singapura dan juga pasukan Thailand telah dijalani pasukan di mana perlawanan persahabatan tersebut membantu kami untuk menilai kelemahan dan kelebihan yang dimiliki untuk di bawa ke kejohanan ini.

“Barisan kejurulatihan dan pengurusan berharap pemain akan memberikan segalanya untuk mempertahan kejuaraan sekaligus melangkah ke Piala Dunia 2025 dan untuk merealisasikan impian kami ini, doa daripada peminat di tanah air juga sangat kami harapkan,” jelasnya.

Berikut merupakan barisan Pengurusan dan Kejurulatihan Lelaki Negara di Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Taldykorgan, Kazakhstan.

NONAMAPOSISI
1.Shurizan MansorPengurus Pasukan Lelaki
2.Mohd Rodzhanizam Mat RadziKetua Jurulatih Lelaki
3.Mohd Hanip Che HalimPenolong Jurulatih Lelaki
4.Saiful Azhar Mohd AfendiJurulatih Penjaga Gol Lelaki

Berikut merupakan senarai 12 pemain Pasukan Hoki Dalam Dewan Negara yang menggalas misi penting di Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Taldykorgan, Kazakhstan.

NONAMAPOSISI
1.Mohd Khairul Afendy KamaruzamanPenjaga Gol
2.Mohamad Hazrul Faiz Ahmad SobriPenjaga Gol
3.Muhammad Najmi Farizal JazlanPertahanan
4.Muhammad Aminuddin Mohd ZainPertahanan
5.Muhammad Aslam Mohamed HanafiahPertahanan
6.Shazril Irwan NazliPertahanan
7.Muhammad Firdaus OmarTengah
8.Muhamad Izham AzharTengah
9.Norsyafiq  SumantriPenyerang
10.Muhammad Ashran HamsaniPenyerang
11.Faridzul Afiq MohdPenyerang
12.Abdul Khaliq HamirinPenyerang

Berikut merupakan jadual perlawanan Pool B, Pasukan Hoki Dalam Dewan Lelaki Kebangsaan di Kejohanan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Taldykorgan, Kazakhstan.

NOTARIKHMASAPERLAWANAN
  1.  21 Mei 2024 (SELASA)3:00 PetangMalaysia lawan Oman
  2.  22 Mei 2024 (RABU)2:45 PetangMalaysia lawan Kazakhstan
7:45 MalamIndonesia lawan Malaysia
  • Selepas tamat aksi Kumpulan A dan B, dua pasukan teratas Pool A dan Pool B akan diletakkan di dalam Pool C dan baki dua pasukan diletakkan dalam Pool D.
  • Dua pasukan teratas dalam Pool C akan beraksi di pentas final selepas tamat perlawanan pusingan kedua.
- Advertisement -