Oleh Muhammad Aiman
Pasukan kejar-mengejar berbasikal dibarisi Afiq Huznie Othman, Irwandie Lakasek, Akmal Hakim Zakaria dan Eiman Firdaus Mohd Zamri membawa ceria buat kem negara apabila menghadiahkan pingat emas tunggal Malaysia di Kejohanan Berbasikal Taiwan Cup Track International Classic, pada Sabtu.
Kuartet itu yang berlatih di bawah program Kita Juara sebagai persiapan menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 muncul pemenang dengan catatan 4:44.782s dalam saingan final elit lelaki di Velodrom Hsin Chu, menewaskan pasukan tuan rumah yang meraih perak setelah melakar 4:49.353s.
Sementara itu, juara remaja Asia tahun lalu, Muhd Fadhil Zonis turut menjejak podium di Taiwan bagi kategori elit setelah memenangi pingat gangsa dalam acara pecut.
Pelumba kelahiran Selangor itu bagaimanapun sekadar menduduki tempat keempat dalam ujian masa 1km dengan catatan 1:09.537s.
Destinasi seterusnya bagi Fadhil adalah Shizuoka di mana dia akan menyertai Sharif Efendi Shahrin, Khairil Nizam Rasol dan Farina Shawati Mohd Adnan untuk beraksi di Japan Track Cup I dan II yang akan berlangsung dari 8-10 Julai depan.
Dalam pada itu, dua pelumba remaja Anis Amira Rosdi dan Daniel Haikal Edy Suhaidee terus menyerlahkan potensi mereka apabila turut menyumbang pingat buat Malaysia menerusi kategori junior.
Anis, pelumba berusia 17 tahun memenangi pingat perak acara 500m ujian masa wanita dengan catatan 39.414s selain gangsa dalam acara keirin manakala Daniel pula memenangi gangsa keirin. ‘
Ketika di Kejohanan Asia di Shizuoka Januari lalu, Daniel meraih emas perlumbaan mata manakala Anis menang gangsa dalam acara kejar-mengejar individu.
Kedua-dua atlet itu selepas ini akan mengharungi kem latihan di pusat latihan terkemuka UCI World Cycling Centre (WCC) di Aigle, Switzerland sebelum beraksi di Kejohanan Remaja Dunia di venue sama dari 20-24 Julai depan.