Sabtu ini, saingan Piala Malaysia 2018 akan membuka tirainya secara rasmi.
Johor Darul Takzim membawa misi meneruskan dominasi hebat mereka di pentas domestik dengan mempertahankan kejuaraan seterusnya melengkapkan gelaran berganda setelah tampil cukup konsisten musim ini untuk menjulang Liga Super buat kali kelima berturut-turut.
Mereka diundi di dalam Kumpulan C, dipertemukan lebih awal dengan finalis musim lalu, Kedah.
Mengambil kira prestasi semasa, JDT pasti dianggap sebagai pilihan mutlak untuk meneruskan kemaraan dan ternyata ianya sukar untuk mana-mana pasukan menyekat mereka malah ketiadaan beberapa tonggak utama pasukan yang terlibat dengan Sukan Asia juga dijangka tidak akan menjejaskan kekuatan mereka.
Kedah yang mara ke final dalam tiga edisi terakhir, sedang bergelut dengan prestasi dan tidak banyak harapan boleh diletakkan untuk mereka melakukannya sekali lagi kali ini, dengan suku akhir mungkin menjadi sasaran realistik.
Kelantan pula dicemari pelbagai isu luar padang dan kontroversi sepanjang musim, malah ianya masih lagi belum berkesudahan. Sang kijang bernasib baik untuk layak ke Piala Malaysia tetapi perlu diakui sukar untuk tuah menyebelahi mereka sekali lagi.
Pasukan juara 2012 itu juga kehilangan khidmat pemain tonggak, Nik Akif Syahiran Nik Mat yang turut terlibat dengan skuad Sukan Asia.
MIFA mungkin boleh mengambil kesempatan di atas kemelut prestasi melanda dua pasukan bekas juara itu, skuad bimbingan K.Devan itu terlepas slot bermain di Liga Super pada hari terakhir dan sudah tentunya bersemangat tinggi mahu menebus kecewa di pentas Piala Malaysia.
Sementara itu, Pahang boleh dianggap sebagai seteru utama JDT di pentas Piala Malaysia malah mereka turut mengintai kejuaraan berganda musim ini setelah menjulang Piala FA bulan lalu.
Jika kedua-dua pasukan itu yang bertembung di final 2014 berjaya melepasi halangan tanpa sebarang kejutan, mereka dijangka akan bertemu di peringkat separuh akhir.
Skuad Dollah Salleh diundi di dalam Kumpulan D bersama-sama Selangor, PKNP FC dan Sabah.
Mereka ternyata mengambil serius pertandingan ini dan kesungguhan itu terbukti apabila enggan melepaskan dua pemain Mathew Davies dan Norazam Azih untuk menyertai skuad B-23, sekaligus diyakini dapat mempertaruhkan sebuah skuad mantap untuk kembali merampas kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 2014.
Selangor pula boleh dikatakan menunjukkan prestasi ala kadar dalam liga dan kemaraan ke final Piala FA dianggap sebagai kejutan dan dibantu tuah undian. Apapun mereka mendapat tonik terbaik apabila kembali bermain di Stadium Shah Alam yang pastinya membakar semangat untuk mengukuhkan status selaku pasukan paling berjaya dalam pertandingan Piala Malaysia.
Manakala PKNP FC bimbingan Abu Bakar Fadzim turut mempunyai peluang adil untuk mara melepasi peringkat kumpulan dan mengulangi pencapaian ke suku akhir tahun lalu manakala Sabah perlu menggandakan usaha untuk cuba mencipta kejutan.
Saingan dalam Kumpulan B pula dilihat paling terbuka dan sukar untuk diramal.
PKNS FC bimbingan Datuk K.Rajagobal mencipta sensasi apabila menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Super yang juga pencapaian terbaik mereka. Mereka juga mara ke separuh akhir Piala FA justeru ianya silap jika cabaran mereka dipandang sebelah mata.
Melaka United menunjukkan peningkatan menuju ke penghujung Liga Super dan tidak tewas dalam lima perlawanan terakhir, dibantu oleh tindakan cekap dalam aktiviti perpindahan dengan membawa masuk empat pemain yang merubah nasib mereka iaitu Ifedayo Olusegun, Khairul Fahmi Che Mat, S.Veenod dan Syahrul Azwari.
Felda United akan turun dengan reputasi selaku juara Liga Premier dan skuad B.Sathianathan ini mempunyai segala ramuan yang diperlukan untuk mengulangi pencapaian separuh akhir 2017 tatkala PDRM yang kembali dibimbing Fauzi Pilus selepas Zulhamizan Zakaria ditamatkan kontrak mungkin sedikit mengharapkan tuah Stadium Hang Jebat untuk melaksanakan misi mustahil.
Di atas kertas, Kumpulan A dilihat menjanjikan persaingan paling sengit berbanding tiga kumpulan yang lain. Perak mengharapkan kecemerlangan ditunjukkan dalam aksi liga dapat dibawa ke Piala Malaysia, meskipun ada kisah balik tabir yang tidak enak untuk didengar ekoran penyingkiran pengurus pasukan Ahmad Shahrul Azhar Sofian sejurus berakhir saingan Liga Super.
Mehmet Durakovic menjulang trofi ini sebagai pemain dan jurulatih bersama Selangor, dan sentuhannya menjadi pertaruhan Perak yang mensasarkan untuk mara ke final buat pertama kali sejak 2007.
Bagi Terengganu, berada di kelompok lima teratas liga adalah pencapaian yang boleh dibanggakan walaupun mereka sebenarnya berpeluang muncul naib juara. Irfan Bakti Abu Salim sedar kegagalan itu meletakkan jawatannya dalam kedudukan bahaya dan kecemerlangan di Piala Malaysia mungkin boleh menjadi penyelamat.
Ironinya, dia juga merupakan jurulatih sang penyu ketika mereka kali terakhir layak ke final pada 2011.
Kuala Lumpur mengharungi prestasi sepanjang musim yang kurang konsisten dan dilihat terlalu pincang di bahagian pertahanan. Maka tidak hairanlah mereka telah menggunakan khidmat empat penjaga gol musim ini.
Sekiranya mereka boleh perbaiki kelemahan itu, skuad Fabio Maciel ada potensi untuk melangkah lebih jauh.
Tetapi buat tiga pasukan Liga Super itu, awas Felcra FC tidak hadir sekadar untuk melengkapkan jadual. Selepas mengesahkan slot bermain di Liga Super, ‘the rivals’ pastinya tidak mahu berpaling dan mahu terus mencipta sensasi.
Siapa yang akan mara, siapa yang akan bungkus awal?