Oleh Muhammad Aiman
Pasukan memanah menjadi wakil negara yang pertama masuk ke gelanggang di Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016, namun kesudahan tidak seperti diharapkan apabila trio Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Akmal Nor Hasrin beraksi hambar untuk menamatkan pusingan penentuan ranking di tempat terakhir dari 12 pasukan.
Khairul, Haziq dan Akmal sekadar membidik 1,945 mata pada hari yang menyaksikan pemain nombor satu dunia, Kim Woo Jin memperbaharui rekod dunia dengan catatan 700 mata sekaligus membantu Korea Selatan berkesudahan di tempat pertama dengan 2,057 mata, diikuti Amerika Syarikat (2,024), Itali (2,007) dan Australia (2,005).
Keempat-empat pasukan mendapat bye dan terus layak ke suku akhir manakala Malaysia akan berdepan Perancis (2,003) yang menduduki tempat kelima di pusingan kedua pada Sabtu.
Jurulatih pasukan negara, Lee Jae-Hyung berkata, “Kami langsung tidak menyerlah mahupun menghampiri prestasi terbaik, ia satu penampilan yang mengecewakan, mungkin disebabkan oleh rasa gementar.”
Seandainya berjaya menewaskan Perancis, pasukan negara akan berdepan Itali di suku akhir dan Jae Hyung tetap berpendapat Malaysia mempunyai peluang seimbang untuk meneruskan kemaraan.
Sejarah bagaimanapun membuktikan bahawa Malaysia tidak pernah menang sebarang perlawanan di peringkat penyingkiran, mereka tewas kepada Itali di Beijing 2008 dan disingkirkan Mexico di London 2012.
Sementara itu, dalam acara individu pula, Khairul yang berada di ranking ke-41 dunia merupakan atlet terbaik Malaysia setelah membidik 665 mata dan menamatkan saingan di kedudukan ke-22 dari 64 pemanah.
Manakala Haziq, berkedudukan nombor 100 dunia, ketinggalan 20 mata di belakang dengan 645 mata dan berada di tempat ke-50, dan Akmal mengumpul 635 mata untuk menamatkan cabaran di tempat ke-55.
Dalam pusingan seterusnya pada Sabtu, Khairul akan berdepan pemanah di tempat ke-47 dari Colombia, Andres Pila (654 mata), Akmal berdepan pemanah di tempat kesepuluh Juan Ignacio Rodriguez (678 mata) dan Haziq berdepan Zach Garret dari Amerika Syarikat.