Pasukan memanah paralimpik negara yang akan membawa cabaran di temasya Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dari 17 – 23 September depan berkeyakinan tinggi dapat menyumbangkan tiga pingat emas sekaligus memperbaiki pencapaian satu emas di Singapura 2015.
Jurulatih, Marzuki Zakaria berkata keyakinan itu didorong prestasi cemerlang dan peningkatan ditunjukkan barisan pemanah negara sepanjang penyertaan dalam pertandingan antarabangsa tahun ini antaranya di Thailand, Republik Czech dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Persiapan semuanya berjalan lancar dan ini adalah petanda positif. Saya fikir tidak mustahil untuk kita memenangi tiga daripada enam emas yang dipertandingkan di mana sasaran kita adalah dua menerusi acara compound dan satu dari acara recurve,” kata Marzuki.
Tambah Marzuki lagi, seramai 10 pemanah terdiri dari enam lelaki dan empat wanita kini sedang giat menyesuaikan diri dengan venue pertandingan di padang sintetik Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membolehkan mereka merasai persekitaran sebenar kejohanan.
“Bagi memanah, aspek paling penting adalah kesediaan dari segi mental dan fizikal berbanding saingan daripada pihak lawan. Ini yang akan membantu mereka untuk memberi fokus penuh.
“Jadi penyesuaian gelanggang adalah satu daripada faktor cukup penting kerana pemanah kita menggunakan kerusi roda dan akan beraksi dalam keadaan cuaca panas. Ketidakselesaan akan menganggu tumpuan dan seterusnya mengundang kecederaan,” jelas Marzuki.
Pada edisi 2015 di Singapura, emas tunggal skuad memanah disumbangkan oleh Yuhaizam Yahya menerusi acara compound individu terbuka dan pemanah senior itu adalah antara yang disandarkan harapan untuk menyumbang emas pada edisi kali ini.
Enam emas yang ditawarkan dalam acara memanah acara compound individu lelaki dan wanita, recurve individu lelaki dan wanita, compound berpasukan dan recurve berpasukan.
Memanah di Sukan Para ASEAN akan berlangsung dari 17 – 23 September. – OLEH MUHAMMAD AIMAN