Berbaki kurang dari dua bulan, persiapan akhir sedang giat dilakukan oleh pasukan negara acara petanque bagi mencapai sasaran dua pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ( Kl2017) Ogos ini.
Pembantu jurulatih petanque Malaysia, Mohd Faiza Muhamad berkata latihan yang dilakukan bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ini sedang giat dilakukan untuk mempersiapkan keadaan fizikal dan mental pemain-pemain petanque.
“Walaupun sekarang kita menjalankan ‘light and soft training’, tetapi dalam masa yang sama kita tetap tekankan juga para pemain supaya fizikal dan mental mereka benar-benar bersedia dan Alhamdulillah apa yang kita boleh lihat mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan Ogos ini.
“Kalau boleh kita tidak mahu tekankan sangat (pemain petanque) kerana timbang mereka akan tertekan, namun bagi mencapai sasaran dua pingat emas yang kita letakkan untuk Malaysia kita akan sedaya upaya melakukan yang terbaik,” katanya.
Mengulas lanjut Mohd Faiza berkata pihaknya juga turut mengadakan beberapa aktiviti dan latihan pemantapan dengan mengadakan beberapa simulasi perlawanan petanque serta kem.
“Pada pertengahan bulan ini (Julai), akan diadakan simulasi perlawanan petanque kedua membabitkan kategori beregu lelaki dan perempuan dan selepas itu, kita akan hantar pemain-pemain ke kem selama tiga hari.
“Akhir sekali, kita akan mempersiapkan pemain dalam misi mencapai sasaran yang ditetapkan dengan menjadikan perlawanan Kejohanan Peringkat Kebangsaan di Perlis pada 29 dan 30 Julai nanti sebagai platform akhir untuk menilai kemampuan mereka”, katanya ketika ditemui di Gelanggang Petanque, Taman Pudu Ulu hari ini (6 Julai).
Dalam masa yang sama, Faiza berkata saingan atau pencabar terkuat setakat ini ialah dari negara Thailand kerana sebanyak 70 peratus pemain negara ini selalunya merangkul pingat emas sejak dahulu lagi. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI