Saingan perebutan bagi kejohanan golf Jelajah PGA CIMB Classic 2017 semakin menarik apabila kedudukan pendahulu berubah selepas tamat pusingan kedua hari ini.
Permainan hari kedua di Kelab Golf TPC, Bukit Kiara hanya berlangsung sehingga jam 10.26 pagi sebelum ditunda akibat cuaca buruk dan disambung semula 2.14 petang.
Keadaan green yang lembab jelas sekali memberikan cabaran dan tekanan ke atas pemain termasuk kelompok pendahulu semalam.
Cameron Smith yang mendahului hari pertama gagal bermain dengan baik apabila sekadar menutup hari kedua dengan dengan 71 pukulan 1 dibawah par untuk catatan terkumpul 135 pukulan 9 dibawah par dan berada di tangga ke 3 bersama sama dua lagi pemain, Kang Sunghoon (Korea Selatan), dan Thomas Pieters (Belgium).
“Sukar untuk mencari rentak hari ini kerana permainan yang perlahan dan permainan ditunda susulan hujan. Saya merasakan pemain pemain lain turut mengalami hari yang teruk.
“Saya masih ada peluang, untuk mengejar, hanya perlu kekal fokus sehingga hujung minggu,”kata Smith.
Hari kedua menjadi milik Pat Perez yang melonjak empat anak tangga ke kedudukan pertama selepas melangkapkan 36 lubang.
Tatkala ramai yang bergelut untuk menyesuaikan diri dengan fairway dan green yang lembab, Perez tampak lebih tenang seperti hari pertama.
Hujan tidak menganggu perancangannya, hanya goyah diawal apabila melakar bogey dilubang 12, namun bangkit dengan dua birdie berturut turut selepas itu.
Di Sembilan lubang terakhir, Pat Perez semakin mantap apabila menambah enam lagi birdie termasuk empat berturut turut bermula di lubang 2 sebelum menutup dua lubang terakhir dengan catatan birdie.
Pemain berusia 41 tahun ini menutup hari kedua dengan catatan 65 pukulan 7 dibawah par.
Keputusan itu sekaligus meletakkan namanya selaku pendahulu berseorangan selepas tamat hari kedua dengan catatan terkumpul 131 pukulan 13 dibawah par.
“Saya terkejut dapat bermain baik seperti ini. Saya agak perlahan diawal sebelum melakukan birdie, putting saya menjadi kunci kejayaan.
“Sesiapa yang mahukan kemenangan perlu memberikan yang terbaik. Jika putting baik, maka dia akan mendapat keputusan yang baik dan itulah yang akan saya lakukan hujung minggu ini termasuklah Justin yang melakukannya pada tahun sebelum ini,”kata Pat Perez.
Kedudukan Perez bagaimanapun masih belum selamat kerana hanya dibezakan 1 pukulan didepan rakan senegara, Xander Schaufelle.
Hanya kesilapan di lubang 6 menjadi penghalang buat Schaufelle apabila catatan double bogey menutup peluangnya untuk mendahului saingan.
Bermula dengan 7 dibawah par, Schaufelle membenam tiga birdie di Sembilan lubang pertama sebelum menambah eagle di lubang 3 dan birdie dilubang 5.
“Ini adalah satu perkara baru untuk saya. Jarang untuk bermain sehingga ke pusingan akhir seperti di sini kerana kali terakhir saya bermain sehingga pusingan akhir ketika di Tour Championship.
“Hanya itu sahaja pengalaman yang saya ada untuk dibawa ke sini,”kata Schauffele. OLEH KU MOHD LUFTI
Kedudukan pemain Kejohanan Golf Jelajah PGA CIMB Classic 2017
Pusingan Kedua
Pat Perez 66-65 – 135 (-13)
Xander Schauffele 65-67 – 132 (-12)
Sung Kang 67-68 – 135 (-9)
Cameron Smith 64-71 – 135 (-9)
Thomas Pieters 68-67 – 135 (-9)
Keegan Bradley 65 – 71 – 136 (-8)
Rafa Cabrera Bello 67 – 70 – 137 (-7)