Khairul_Hafiz_Jantan

Oleh Ku Mohd Lufti

Hasrat atlet dan jurulatih bagi acara pecut berpeluang untuk meneruskan sesi latihan ke luar negara selepas mendapat lampu hijau daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Cadangan untuk menjalani latihan diluar negara pernah disuarakan jurulatih pecut yang membimbing Badrul Hisyam Abd Manap dan Khairul Hafiz Jantan.

Dua lokasi cadangan diberikan, iaitu Universiti Minnesota dan Kelab Trek Santa Monica untuk perancangan jangka panjang dan pendek.

Khairy berkata pihaknya masih dalam proses perancangan dan perbincangan untuk menghantar bakat-bakat muda tersebut ke luar negara untuk mendapat latihan dan pendedahan.

“Saya lihat kebangkitan generasi pelari pecut ini sangat cemerlang dan kita perlu jaga mereka dengan baik. Amerika Syarikat (latihan dan pendedahan) menjadi pilihan utama kita buat masa ini,” kata Khairy Jamaluddin.

Selain menjalani latihan, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) juga melihat peluang untuk atlet yang menjalani latihan melanjutkan pelajaran pada masa yang sama.

Dalam pada itu, Khairy melihat Skuad olahraga negara mampu meraih tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4×100 meter lelaki di Kuala Lumpur 2017.

Khairy yang turun menyaksikan saingan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia tampak berpuas hati dengan prestasi barisan pelari muda negara seperti Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Jonathan Nyepa.

“Ini merupakan petanda yang baik bagi Sukan SEA…kita ada kumpulan pelari pecut yang dapat beri saingan sihat antara satu sama lain untuk meningkatkan prestasi mereka secara keseluruhan,”katanya lagi.

Malah, pelari dari Sarawak Jonathan telah dipelawa untuk mengikuti latihan bersama dengan pelari lain di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) di Bandar Penawar, Johor.

- Advertisement -