Rakaman video muzik tersebut juga memaparkan beberapa aksi menarik di antaranya pengambaran di atas bumbung sebuah bangunan di Kuala Lumpur
Rakaman video muzik tersebut juga memaparkan beberapa aksi menarik di antaranya pengambaran di atas bumbung sebuah bangunan di Kuala Lumpur.

JAWATANKUASA Pengelola Malaysia (MASOC) melancarkan satu lagi daripada tiga lagu tema bagi temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 (turut dikenali sebagai Kuala Lumpur 2017 atau KL2017) pada hari ini, 31 Julai 2017. Lagu tersebut yang dinamakan “Tunjuk Belang” dinyanyikan oleh tiga artis terkenal tanah air iaitu loQue, Azlan (The Typewriter) dan maliQue. Lagu berdurasi empat minit itu ditulis dan diterbitkan oleh loQue sementara penyanyi rap terkenal maliQue turut menyumbang kepada lirik dan elemen rap lagu tersebut.

loQue yang juga dikenali sebagai monoloQue merupakan pengasas dan bekas komposer utama bagi kumpulan muzik Butterfingers. Hasil karya beliau bersama kumpulan tersebut pernah mendapat beberapa pencalonan di Anugerah Industri Muzik (AIM) Malaysia. Kecenderungan beliau kini terhadap muzik yang bersifat nusantara menjadikan karyanya di dalam lagu “Tunjuk Belang” ini sesuai untuk citarasa penonton KL2017 yang berbeza
di seluruh rantau ini.

Turut sama dilancarkan hari ini adalah video muzik bagi lagu tersebut yang boleh ditonton di saluran YouTube rasmi KL2017. Video muzik ini telah diarahkan oleh Daryl Emuang, seorang pengarah filem berjaya yang telah banyak bekerjasama dengan jenama besar dari pelbagai industri di Malaysia dan memenangi beberapa anugerah di peringkat Asia.

 

Rakaman video muzik tersebut juga memaparkan beberapa aksi menarik di antaranya pengambaran di atas bumbung sebuah bangunan di Kuala Lumpur dan juga petikan video aksi kemenangan atlet negara seperti Ziyad Zolkefli, Latif Romly, Cheong Jun Hoong dan Azizulhasni Awang.

Lagu dan video muzik bagi “Tunjuk Belang” boleh dimuat turun daripada aset digital KL2017 iaitu di akaun rasmi YouTube dan akaun media sosial KL2017 lain seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Lagu “Tunjuk Belang” merupakan lagu kedua yang dilancarkan daripada tiga lagu rasmi
yang dikeluarkan oleh MASOC bagi temasya KL2017. Terdahulu, lagu “So Many Hands” nyanyian penyanyi tanah air, Mia Palencia yang digunapakai di dalam Iklan Rasmi KL2017 bertajuk “It Takes a Nation to Raise a Champion (Bersama, Kita Lahirkan Juara)” telah dilancarkan pada 13 Julai 2017. Versi Bahasa Malaysia bagi lagu tersebut dinyanyikan oleh Asmidar dengan tajuk “Tangan-Tangan Yang Menjulang”.

Lagu terakhir KL2017 daripada kempen menyumbang lirik yang diketuai oleh komposer lagenda, Dato’ Ramli MS dan penyanyi Dayang Nurfaizah pula akan dilancarkan pada 8 Ogos 2017 nanti. Pelancaran hari ini disasarkan untuk menyemarakkan lagi sambutan bagi KL2017 dan membakar semangat Bangkit Bersama dalam kalangan masyarakat umum ketika negara bersiap sedia menjelang temasya KL2017 yang akan dibuka secara rasminya kurang 19 hari lagi.

KL2017 akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos 2017 bagi temasya Sukan SEA dan 17 hingga 23 September 2017 bagi Sukan Para ASEAN.

Untuk maklumat lanjut berkenaan KL2017 dan pelancaran ini, sila layari www.kualalumpur2017.com.my.

Maklumat Mengenai Lagu Kuala Lumpur 2017 “Tunjuk Belang”
Tajuk: Lagu Tunjuk Belang
Artis: monoloQue X Lan X maliQue
Durasi: 4 minit
Bahasa: Bahasa Malaysia
Lagu & Lirik: loQue
Lirik (MaliQue): maliQue
Penerbit: loQue
Jurutera Bunyi: Hafiz Ahmad/Elyas/loQue
Juruadun (Mixed): Hafiz Ahmad/loQue
Penolong Penerbit: Hafiz Ahmad/Aiyad Sakti
Adunan Master: Greg Calbi – Sterling Sound NYC
Hak Cipta: Kementerian Belia dan Sukan malaysia
Hak Milik Intelek: Pustaka Muzik Pancasona 2017

Ahli Kumpulan
1) Azlan Typewriter – vokalis
2) Bakri ” Halia” Ismail – drums/percussions
3) AJ Pop Shuvit – bass
4) MaliQue – vokalis
5) loQue – gitar/synths/piano/vokalis

Ahli Orkestra (Orkes Gelombang Baru)
1) Nizam – Harmonium/Gong
2) Sim – Erhu
3) Kumar – Sitar
4) Saufi – Sape
5) Anas – Caklempong
6) Qid – Gendang/Rebana
7) Adi ” Dolmat ” Botak – Violin
8) Jill Paladdin – Cello
9) Montel – Trombone
10) Nor Shaedah – French Horn

Kebebasan Berseni/Pengurusan: Zakwan Yunus
Jentera Muzik: Ami “Ikhwan”, AimenMX, Paan

 

MENGENAI MASOC
MASOC adalah Jawatankuasa Pengelola Malaysia Kuala Lumpur 2017 untuk Sukan Asia Tenggara ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9. MASOC diketuai oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, sebagai penasihatnya. Menteri Belia dan Sukan, YB Brig. Jen. Khairy Jamaluddin adalah Pengerusi manakala Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Y.A.M. Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar dan SM Nasarudin SM Nasimuddin, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia adalah Naib Pengerusi Bersama.

Sebagai Pengerusi, YB Brig. Jen. Khairy akan menyelia penganjuran temasya sukan ini. Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC adalah Dato’ Seri Zolkples Embong. MASOC disokong oleh 18 jawatankuasa kecil yang telah dibentuk pada tahun 2015.

MENGENAI KUALA LUMPUR 2017
Kuala Lumpur 2017 (KL2017) adalah jenama kepada Sukan Asia Tenggara ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9. Sukan Asia Tenggara ini akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos 2017. Sukan Para ASEAN pula akan diadakan dari 17 hingga 23 September 2017. Temasya sukan ini akan berlangsung serentak dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 Malaysia dan Hari Malaysia. Ia adalah kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah sukan dwi-tahunan ini, yang akan menyaksikan lebih daripada 6,000 atlet mengambil bahagian bertanding di 44 lokasi di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Terengganu dan Langkawi. Lebih 13,000 sukarelawan juga dijangka terlibat dalam temasya ini.

“Bangkit Bersama” adalah tema KL2017 manakala Wau Bulan, iaitu layang-layang berbentuk bulan sabit yang secara tradisinya popular di Pantai Timur, Semenanjung Malaysia adalah logo yang telah dipilih. Maskot rasmi untuk KL2017 adalah Harimau Malaya bernama RIMAU, yang merupakan singkatan dari teras nilai-nilai temasya ini iaitu “Respect, Integrity, Move, Attitude and Unity”.

 

- Advertisement -