johnathan-wong

Oleh Muhammad Aiman

Pelantikan jurulatih berprofil tinggi dari Korea Selatan, Park Sang Soon sebagai ketua jurulatih baru disambut baik barisan atlet menembak kebangsaan.

Penembak olimpik negara, Johnathan Wong berkata Majlis Sukan Negara (MSN) telah membuat keputusan tepat dengan melantik Sang Soon dan berpendapat masa depan skuad menembak negara kelihatan cerah memandangkan jurulatih itu mempunyai rekod hebat melahirkan ramai penembak bertaraf dunia.

“Kami di kem menembak negara cukup gembira untuk berlatih di bawah seorang jurulatih cukup berpengalaman seperti Park, kami percaya dia boleh membimbing kami (penembak rifle dan pistol) untuk meningkatkan lagi prestasi,” kata Johnathan.

Johnathan sebelum ini pernah berpeluang untuk bertemu dengan Sang Soon di Seoul pada Julai ketika dia menjalani latihan selama dua minggu di sana sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Rio De Janeiro.

“Ketika itu saya tidak mendapat sebarang tips daripadanya kerana dia sedang sibuk mempersiapkan atletnya bagi menghadapi olimpik,” ujar Johnathan yang layak secara merit ke Rio setelah memenangi pingat emas di Kejohanan Kelayakan Olimpik Asia, di New Delhi pada Februari.

Dia bagaimanapun  tidak begitu menyerlah di Rio, sekadar menamatkan saingan 10m pistol udara di kedudukan ke-28 dari 46 atlet manakala bagi acara 50m sports pistol, dia berkesudahan di kedudukan 37 daripada 41 atlet. 

Dalam pada itu, MSN juga telah melantik dua lagi jurulatih dari Korea Selatan, Park Cheol Wan (pistol) dan Kong Hyun Ah (rifle) bagi membantu Sang Soon mempersiapkan atletnya menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Johnathan dan sembilan penembak lain bagaimanapun hanya akan dapat berlatih bersama mereka sekembalinya dari Kejohanan Menembak Airgun Asia, di Iran yang berlangsung dari 4-8 Disember.  

- Advertisement -