Pada Sabtu, Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie mengumumkan meletak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) hanya lebih kurang empat bulan selepas dilantik memegang jawatan itu.

Dia datang dengan perancangan yang gah dengan mendakwa kononnya RM15 juta tersedia untuk melonjakkan kembali imej bolasepak negeri itu,  dan menggerakkan revolusi besar-besaran dengan merekrut nama-nama besar sama ada pemain mahupun jurulatih untuk membarisi skuad utama dan juga pelbagai skuad peringkat umur di bawah PFA.

Hakikatnya, Amizal yang mempunyai latar belakang yang sangat teruk di dalam perniagaan berasaskan “multi level marketing” tidak membawa masuk sebarang dana seperti diwar-warkan, sehingga akhirnya menyebabkan singa utara berdepan kemelut kewangan kritikal, tunggakan gaji dan akhirnya disingkirkan dari Liga Malaysia. 

Malah kantung PFA yang dikatakan kering, turut menimbulkan persoalan yang cukup serius dalam kalangan anggota skuad, dengan kutipan diperoleh daripada dua perlawanan persahabatan menentang Kedah dan Pulau Pinang pada bulan Disember lalu yang mencecah hampir RM400,000 juga ‘lesap’ tanpa berita. 

“Mula-mula dia (Presiden PFA) cakap ada RM15 juta, memang nampaknya kami tertipu. Lepas isu gaji ni timbul, bulan Januari lalu kami ada bagitahu dekat wakil pengurusan kenapa tidak guna sahaja dulu duit jualan tiket, kalau ada RM100,000 sekalipun, bayar sikit sorang boleh kurangkan beban kami. Takkanlah untuk kegunaan kecemasan duit tersebut tak boleh disentuh.

“Tapi pengurusan diam, tak cakap apa-apa pasal duit tu, yang kami diberitahu duit tak ada, kutipan tak banyak seperti dijangka. Jadi ke mana hilang duit tu, kedua-dua perlawanan penyokong datang sampai nak roboh stadium, house full, takkanlah nak cakap mereka masuk percuma sedangkan tiket dijual paling murah RM10 untuk tempat duduk terbuka.

“Perkara ini perlu disiasat, sekarang ia bukan semata-mata isu kontrak dicabul atau kena tipu, duit jualan tiket pun entah ke mana,” kata seorang bekas pemain pasukan itu yang mengharapkan akan mendapat semula haknya.

Sebagai rekod, Perlis menewaskan Kedah 3-1 pada 22 Disember dan kemudiannya seri 1-1 menentang Pulau Pinang pada 28 Disember dalam aksi berlangsung di Stadium Tuanku Ayed Putra Kangar yang boleh memuatkan 20,000 penyokong.

Nampaknya bukan sahaja ke mana hilangnya duit itu yang menjadi persoalan,  tetapi kenapa seorang yang bernama Amizal datang dengan perancangan gah dan kononnya mempunyai RM15 juta, merekrut nama besar,  membiarkan pasukan hilang arah, merosakkan periuk nasi pemain dan jurulatih, dan kemudiannya tanpa rasa bersalah berundur melepaskan jawatan,  semuanya menjadi persoalan yang tidak terjawab. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -