Oleh Muhammad Aiman
Sejarah bakal tercipta buat Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), sebuah sekolah istimewa buat anak-anak gelandangan di mana buat pertama kalinya mereka akan bertanding di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan (MSSWP), membabitkan sukan olahraga dan memanah.
Ketua jurulatih SBJK, Abdul Rahman Koyakutty yang juga bekas atlet olahraga kebangsaan berkata sekolah itu serius di dalam usaha mengetengahkan bakat-bakat baru dan percaya penyertaan di MSSWP adalah satu permulaan yang baik buat sekolah itu mengorak langkah lebih jauh.
âMereka punyai keinginan dan kesungguhan jadi saya harap ini menjadi medan buat mereka tunjukkan kepada semua apa yang boleh mereka lakukan. Gunakan peluang yang diperoleh ini untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman.
âKita tidak mempunyai fasiliti sepertimana sekolah berasaskan sukan tetapi sangat-sangat berterima kasih kepada pihak Yakeb yang telah membantu mendapatkan sokongan daripada Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan untuk menggunakan kemudahan di Kompleks Sukan Kampung Pandan (KSKP).
âKini kami sedang bekerja keras mempersiapkan mereka dan telah memulakan latihan intensif sejak 17 Januari lalu di KSKP, membabitkan 40 pelajar bagi semua kategori umur iaitu bawah 18, bawah 15 dan bawah 12 tahun. Mereka akan mengambil bahagian dalam 11 acara padang dan balapan,â katanya.
Menurut Abdul Rahman lagi, bagi memantapkan persiapan pasukan olahraga SBJK menjelang kejohanan yang akan berlangsung dari 20 – 23 Februari depan, mereka akan berkampung selama empat hari dari 16 – 19 Februari bagi menjalani latihan pusat di KSKP.
Ditanya mengenai potensi serta sasaran diletakkan terhadap pelajar-pelajar dari kalangan anak gelandangan ini, Abdul Rahman berkata, âUntuk berlaku adil, ini adalah kali pertama kita sertai satu kejohanan besar. Apa yang penting bagi saya adalah pelajar-pelajar ini mendapat ruang tonjolkan bakat, dan mendapat pendedahan.
âNamun sudah tentunya potensi itu ada, beberapa pelajar dilihat berpeluang memenangi pingat antaranya dari acara lontar peluru dan lompat jauh. Tetapi kita tidak mahu memberi tekanan kepada mereka, saya harap mereka dapat lakukan yang terbaik.â
Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Malek Noor gembira melihat perkembangan ditunjukkan pelajar-pelajar SBJK yang kini mendapat ruang dan peluang wajar untuk menonjolkan bakat mereka. Â
Untuk makluman, YAKEB telah bekerjasama erat dengan SBJK di dalam menyediakan program-program sukan malah membekalkan tenaga kejurulatihan dari kalangan bekas atlet sebagai satu daripada inisiatif mendekati masyarakat yang diilhamkan melalui kempen 1 Malaysia 1 Hope.
âSaya yakin SBJK punyai ramai pelajar-pelajar berbakat besar, tidak mustahil jika diberi pendedahan betul mereka boleh pergi jauh, malah mewakili negara satu hari nanti. Kita perlu ingat, tidak semua atlet-atlet negara datangnya dari sekolah berasaskan sukan, atau dicungkil bakat mereka dari program-program sukan.
âSebagai contoh pemenang emas paralimpik Rio, Dekwan (Ridzuan Puzi) dikesan bakatnya melalui Program Pemulihan Dalam Komuniti, Ziyad (Zulkifli) pula ketika menyertai Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas.
âJadi saya percaya, di kalangan anak-anak gelandangan ini juga ada ramai yang mempunyai bakat terpendam yang mana jika kena pada caranya, tidak mustahil kita dapat ketengahkan menjadi atlet cemerlang,â kata Datoâ Malek.
Pembabitan Yakeb di dalam membantu mencungkil bakat-bakat baru di kalangan anak gelandangan dari SBJK bermula sejak Mei tahun lalu, di mana ketika itu mereka telah mengadakan program âLearn From The Prosâ yang telah berlangsung selama tiga hari membabitkan lima jenis sukan iaitu olahraga, memanah, bolasepak, bolajaring dan papan luncur.