athletics.1

Oleh Muhammad Aiman

Peluang kini tersedia buat dua pelari pecut, Khairul Hafiz Jantan dan Badrul Hisyam Abdul Manap untuk mengintai kejutan di bumi Vietnam setelah masing-masing mara ke pusingan akhir acara 100m Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17.

Catatan masa 10.44s sudah memadai buat Khairul Hafiz untuk memenangi separuh akhir kedua di Stadium Nhong That pada Jumaat, manakala Badrul Hisyam merekodkan 10.66s untuk berkesudahan di tempat ketiga dalam separuh akhir pertama.

Jurulatih olahraga kebangsaan, Md Poad Kassim berkata dia sememangnya meletakkan harapan tinggi ke atas dua pelari kelahiran Melaka itu untuk menyerlah di Vietnam dan gembira untuk melihat kedua-duanya berada di pentas final yang akan berlangsung pada Sabtu.

“Ini adalah kali pertama kita mempunyai dua pelari pecut di final. Ketika di Kejohanan Sekolah-Sekolah Asean di Brunei, Badrul menang emas manakala Khairul meraih Perak dan kini peluang untuk mereka membuktikan kemampuan mereka di pentas Remaja Asia. Tetapi mereka perlu berlari lebih pantas jika mahu berada di atas podium,” katanya.

Malaysia bagaimanapun tidak mempunyai wakil dalam acara final 100m wanita, setelah Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri dan Azreen Nabila Alias kedua-duanya tersingkir di peringkat saringan.

Noor Eewan mencatat 12.28s untuk menamatkan saringan pertama di tempat ketiga, manakala Azreen pula berkesudahan di tempat keempat dalam saringan ketiga dengan catatan masa 12.40s.

Bagi acara 400m, atlet meningkat naik Shereen Samson Vallabouy akan membawa cabaran negara setelah mara ke final dengan merekodkan 56.06s di pusingan separuh akhir.

Malaysia turut mengambil bahagian dalam acara 10km jalan kaki pada Jumaat namun Lee Yan Ru hanya mampu menamatkan saingan di tempat keenam dari tujuh peserta setelah melakukan catatan masa 1 jam 2 minit 56 saat.

- Advertisement -